KPM jamin PRN Johor tidak ganggu perjalanan SPM

Iklan
Mohd Radzi membuat tinjauan mengejut pada hari pertama peperiksaan SPM 2021 di SMK Kota Masai 2, Pasir Gudang, pada Rabu.

PASIR GUDANG - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan 147 buah sekolah menengah di Johor yang digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pusat mengundi tidak akan menjejaskan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula pada Rabu.

Menterinya, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, walaupun sekolah-sekolah berkenaan digunakan sebagai tempat membuang undi, proses berkenaan tidak akan melibatkan bilik peperiksaan.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini kita memang berbincang dengan SPR sekiranya boleh agar tidak menggunakan sekolah menengah, namun disebabkan kekangan tertentu, sebanyak 147 sekolah menengah akan digunakan.

"Jadi keputusan dibuat walaupun sekolah itu digunakan, ia tidak akan sentuh bilik peperiksaan walaupun sukar kerana peperiksaan kali ini hampir semua bilik digunakan.

Iklan

"Tetapi mereka (SPR) ada kaedah dan sedang usahakan yang terbaik bagi memastikan proses peperiksaan berjalan lancar dan teratur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan meninjau hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, di sini pada Rabu.

Iklan

Mohd Radzi berkata, proses sanitasi akan dilakukan sejurus sahaja tamat proses pengundian bagi memastikan kawasan berkenaan dinyah cemar.

"Sekolah-sekolah rendah yang dijadikan sebagai pusat membuang undi dalam PRN Johor ini jauh lebih banyak," katanya.

Seramai 407,097 calon menduduki peperiksaan SPM di 3,000 pusat peperiksaan seluruh negara dan daripada jumlah itu, seramai 50,317 merupakan calon di negeri ini.

Peperiksaan bertulis SPM 2021 bermula pada 3 hingga 29 Mac ini manakala PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac ini dengan pengundian awal akan dibuat pada 8 Mac.

Beberapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di negeri ini sebelum ini membantah keputusan SPR menggunakan sekolah menengah sebagai pusat pembuangan undi dalam PRN Johor.