BKSA laksana restorasi hutan di Empangan Durian Tunggal: KM Melaka

Iklan
Sulaiman

ALOR GAJAH - Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka giat melaksanakan projek restorasi hutan di 11 tapak bekas pencerobohan haram di sekitar Empangan Durian Tunggal yang telah dibersihkan membabitkan kawasan seluas 23.24 hektar.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, antara langkah diambil termasuk menjalankan kerja-kerja mematikan pokok kelapa sawit di sekitar empangan itu bagi melindungi keselamatan air dan kawasan tadahan bagi kepentingan rakyat negeri ini.

Iklan
Iklan

"Pencerobohan di kawasan empangan bertujuan untuk menjalankan aktiviti pertanian sekali gus mengakibatkan pelbagai kesan yang boleh mencemarkan kualiti air, terutamanya dalam penggunaan racun dan baja yang akhirnya disalurkan ke kawasan tadahan, selain tanaman kelapa sawit yang tidak sesuai ditanam di kawasan tadahan air kerana menyerap air yang banyak,” katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Sebelum itu beliau menyempurnakan Program Penanaman Pokok 'Petronas Walk4trees' di Kampung Ayer Pasir yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Shariah Nelly Francis dan Pengarah Global Enviroment Centre (GEC), Faizal Parish.

Iklan

Beliau berkata, kawasan yang telah dibersihkan itu akan ditanam dengan pokok-pokok hutan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) tahun ini, bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan empangan tersebut.

Sementara itu, pada program berkenaan Yayasan Petronas menyumbang sebanyak 2,000 batang pokok yang terdiri daripada enam spesies tanaman hutan iaitu meranti sengkawang merah, merawan siput jantan, kasai, keruing neram, kelat paya dan tenggek burung.

Iklan

Sulaiman berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha tersebut yang sejajar dengan aspirasi Agenda Nasional Negara bagi melaksanakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok menjelang 2025, di samping menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri hijau yang lestari. - Bernama