Dijel 5 tahun gara-gara bakar kereta mentua

Iklan
Tertuduh (kiri) dikawal polis keluar dari mahkamah selepas dihukum.

KOTA BHARU - Seorang buruh dijel lima tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas kesalahan membakar kereta milik mentuanya, Oktober dua tahun lalu.

Hukuman terhadap tertuduh, Mohd Abas Yaa’cob, 39, diputuskan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin selepas tertuduh mengaku salah.

Iklan
Iklan

Beliau turut mengarahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 10 Februari lalu.

Berdasarkan tuduhan, tertuduh didakwa khianat menggunakan api dengan niat hendak menyebabkan kerosakan ke atas kereta jenis Honda berwarna putih milik Mohamed Yaacob Deraman, 51, di Jalan Taman Paduka, Kampung Parit Limbat, di sini, pada jam 3.30 pagi, 2 Oktober 2017.

Iklan

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga boleh didenda.

Dalam kejadian lalu, pengadu yang bertugas di bilik kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menerima panggilan telefon memaklumkan terdapat sebuah kereta sedang terbakar.

Iklan

Siasatan mendapati, tertuduh dengan sengaja membakar kereta tersebut kerana berselisih faham dengan mentuanya.

Terdahulu, tertuduh memohon hukumannya diringankan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

"Mahkamah perlu mengambil kira kesalahan seumpama ini semakin berleluasa, satu hukuman akan memberi pengajaran kepada masyarakat bahawa jenayah ini serius,” katanya.