BISNES

Malaysia Airlines, Qatar Airways meterai kerjasama

Malaysia Airlines mengadakan kerjasama dengan Qatar Airways menawarkan rangkaian perkhidmatan nilai tambah kepada penumpang.Gambar hiasan

MALAYSIA Airlines Bhd dan Qatar Airways menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memudahkan kerjasama strategik bagi menawarkan rangkaian perkhidmatan nilai tambah yang tiada tandingan kepada penumpang.

Dalam kenyataan, syarikat penerbangan nasional itu berkata kedua-dua syarikat penerbangan akan memanfaatkan kekuatan rangkaian masing-masing dan menyediakan lebih banyak akses kepada penumpang untuk melakukan perjalanan ke destinasi baharu selain menawarkan produk baharu dan eksklusif kepada pelanggan mereka tidak lama lagi.

“Penumpang Malaysia Airlines akan menikmati kesalinghubungan yang lancar ke destinasi popular di Eropah, Afrika, Timur Tengah dan Amerika dengan rangkaian luas Qatar Airways melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha.

“Penumpang Qatar Airways pula akan mendapat akses yang lebih baik ke pasaran Malaysia domestik yang lebih luas dan destinasi utama di Asia seperti Pulau Pinang, Langkawi, Medan (Indonesia) yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines melalui hab Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Kedua-dua rakan kongsi oneworld itu turut bersetuju untuk memaksimumkan sinergi dalam bidang perniagaan lain seperti kargo udara, operasi atau perkhidmatan komersial.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Izham Ismail berkata, kerjasama itu akan memberikan kecekapan yang lebih baik dan rangkaian yang lebih komprehensif kepada penumpang selain meningkatkan lagi pertumbuhan aliran trafik melalui KLIA, yang akan berfungsi sebagai pintu masuk utama ke destinasi domestik Malaysia dan Asia Tenggara yang terpilih.

“MoU untuk kerjasama strategik antara Malaysia Airlines dan Qatar Airways ini merupakan aspek penting daripada pelan perniagaan jangka panjang kami berikutan kami meninjau lebih banyak peluang strategik dan mewujudkan kerjasama yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan Qatar Airways Akbar Al Baker berkata, kerjasama itu akan menghubungkan rangkaian kedua-dua syarikat penerbangan dan membolehkan mereka bekerjasama dalam pelbagai aspek perniagaan.

“Dalam kita melangkah ke hadapan dalam dunia pasca pandemik, perniagaan yang berjaya dipacu oleh kerjasama yang kukuh, dan kerjasama erat ini dengan Malaysia Airlines menjadi contoh yang baik bagaimana kerjasama antarabangsa boleh memberi laluan kepada pemulihan industri,” katanya - Bernama

Iklan
Iklan