Sindiket penyelewengan diesel tumpas

Iklan
Pegawai KPDNHEP Perak memeriksa lori tangki yang mengandungi minyak diesel bersubsidi di Tambun.

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menggagalkan cubaan menyeleweng 4,800 liter diesel bersubsidi bernilai RM40,320 di sebuah stor simpanan di Tambun pada Khamis.

Serbuan kira-kira jam 7.30 pagi itu dijalankan hasil maklumat risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan KPDNHEP Perak lebih dua minggu lalu.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai membeli minyak diesel ini di stesen-stesen minyak sekitar Ipoh dan menyimpannya di stor berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga tong dram dipenuhi cecair dianggarkan berjumlah 600 liter yang diletakkan di dalam premis berkenaan.

Iklan

"Sebuah lori tangki mengandungi cecair disyaki minyak diesel dianggarkan berjumlah 4,200 liter dan peralatan untuk memindahkan minyak turut ditemui berada di premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 58 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Iklan

"Satu arahan untuk mengemukakan dokumen dan pengisytiharan stok barang kawalan berjadual telah dikeluarkan di bawah Seksyen 8 dan Seksyen 8(1) AKB 1961 kepada seorang lelaki yang disyaki penjaga premis.

"KPDNHEP telah mengambil tindakan dengan melakukan sitaan 4,800 liter yang disyaki cecair minyak diesel, tong dram, beberapa dokumen dan lori tangki di lokasi tersebut," katanya.

Saifullizan berkata, tindakan tegas akan diambil termasuk mendakwa di mahkamah terhadap mereka yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.