Kes baharu Covid-19 menurun kepada 21,072 hari ini

Iklan
Malaysia mencatatkan sedikit penurunan penularan Covid-19 pada Ahad dengan 21,072 kes berbanding 22,802 kes pada Sabtu. Foto hiasan

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Malaysia mencatatkan sedikit penurunan penularan Covid-19 pada Ahad dengan 21,072 kes berbanding 22,802 kes pada Sabtu dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,040,235 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 20,986 kes atau 99.59 peratus adalah kategori satu dan dua.

Iklan
Iklan

"Selebihnya 86 kes (0.41 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lebih lanjut mengenai kes kategori tiga hingga lima, beliau berkata, 58 kes merupakan kategori tiga, 20 kes kategori empat dan lapan kes kategori lima.

Iklan

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes harian itu, 65 kes merupakan kes import yang melibatkan 29 warganegara dan 36 bukan warganegara.

Katanya, kes tempatan pula melibatkan 21,007 kes iaitu 20,526 warganegara (97.7 peratus) dan 481 bukan warganegara (2.3 peratus).

Iklan

"Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) ialah 187 kes dengan 98 kes disahkan Covid-19 manakala 89 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

"Sebanyak 109 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 47 kes disahkan Covid-19 manakala 62 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” jelasnya.

Beliau menambah, sebanyak 5,724 kes sembuh pada Ahad menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh ialah 2,852,437.