Maszlee sindir ‘sumber’ dakwa beliau terlibat rasuah

Iklan
Maszlee

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menyindir ‘sumber’ yang mendakwa beliau menerima suapan sewaktu memegang jawatan sebagai menteri.

Beliau berkata, sumber tersebut seharusnya mencari dakwaan yang lebih munasabah, malah menyifatkan dakwaan yang dilontarkan itu adalah ‘terlalu pincang’.

Iklan
Iklan

"Semalam RM50,000, hari ini RM200,000? Peruntukan menteri sebenarnya lebih daripada itu,” ciapnya menerusi satu hantaran di Twitternya pada Selasa.

Memetik laporan akhbar berbahasa Inggeris pada Selasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan Maszlee menerima ‘hadiah’ berjumlah RM200,000 sewaktu beliau berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan.

Iklan

Laporan itu turut mengatakan bahawa wang tersebut digunakan untuk aktiviti politiknya.

Bagaimanapun, bekas Menteri Pendidikan itu mempersoalkan dakwaan tersebut.

Iklan

"Aktiviti politik? Adakah saya seorang pemimpin parti politik, jadi?” soal beliau.

Sebelum ini, Maszlee juga didakwa menerima sebuah kenderaan jenis Vellfire dari satu syarikat di bawah Kementerian Pendidikan semasa beliau menjadi menteri.

Bagaimanapun, Maszlee berkata, beliau sama sekali tidak pernah memiliki kenderaan sedemikian.

"Vellfire? Adakah saya pernah memiliki apa-apa?

"Yang digunakan sewaktu di Kementerian Pendidikan Malaysia adalah milik kerajaan...bukan milik saya,” jelasnya.