Diaz miliki karakter diperlukan Liverpool

Iklan
Diaz - Foto AFP

TONGGAK baharu berprofil tinggi Liverpool, Luis Diaz diyakini mampu menyerlah dalam atmosfera saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kata pengendali The Reds, Jurgen Klopp.

Malah menurut Klopp, keyakinan terhadap bekas tonggak FC Porto itu hadir selepas menyaksikan penampilan pemain berkenaan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Diaz merupakan yang kami jejaki sejak sekian lama kerana dia mempunyai segala yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan gaya bola sepak Liverpool, selain menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris dari segi fizikal dan mental.

"Sejujurnya kami melihat Diaz seorang pemain yang dahagakan kejayaan, namun di Liverpool semua tahu bahawa anda perlu berjuang untuk mendapatkan apa yang anda mahukan.

Iklan

"Karakter itu ada dalam jiwa Diaz yang merupakan seorang pejuang, itu tidak syak lagi. Dia seorang pemain berkualiti tinggi dan sentiasa memikirkan bagaimana untuk merealisasikan misi kelab dalam setiap perlawanan,” kata Klopp.

Diaz berusia 25 tahun menjadi permain pertama direkrut The Reds bagi memperkuat bahagian sayap pada jendela perpindahan pemain pada ketika ini apabila dikontrakan sehingga 2027 dengan bayaran perpindahan £37.5 (RM210 juta) berserta bonus tambahan £12.5 (RM70 juta).

Iklan

Pada masa sama bekas pengendali Borussia Dortmund itu berterima kasih kepada pengurusan Liverpool kerana merealisasikan perpindahan Diaz dari Portugal ke England.

"Sejujurnya kelab ini berhak menambah kualiti dengan mendapatkan khidmat pemain seperti Diaz. Kami melihat betapa bahaya dan pantas serta bagaimana mentalitinya membantu Porto dan Colombia.

"Diaz adalah pemain yang kami percaya akan menjadikan Liverpool lebih baik sekarang dan pada masa depan. Dia adalah pemain yang kami mahukan dan pengurusan kelab berjaya melakukannya, jadi saya sangat gembira,” ujar Klopp.

Liverpool kini di kedudukan kedua liga dengan 48 mata selepas mengharungi 22 perlawanan, sembilan mata di belakang penyandang juara Manchester City, yang beraksi lebih satu perlawanan.

Untuk rekod, Liverpool akan menerima kunjungan kelab sensasi Liga Kejuaraan, Cardiff City Football Club dalam pusingan keempat Piala FA di Stadium Anfield pada Ahad.