‘Mereka dalam radar KPWKM’

Iklan
KPWKM mengakui gejala kanak-kanak di bawah usia 12 tahun menonton dan ketagih pornografi berlaku selain berada dalam pemerhatian kementerian tersebut. - Gambar hiasan . (Gambar Kecil)

Rina tegaskan kanak-kanak ketagih pornografi dipantau dan gejala itu perlu dibanteras

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengakui gejala kanak-kanak di bawah usia 12 tahun menonton dan ketagih pornografi berlaku selain berada dalam pemerhatian kementerian tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, perkara itu berlaku apabila wujudnya pendedahan teknologi dan internet yang diberikan oleh ibu bapa secara tidak terkawal terhadap anak-anak.

Iklan
Iklan

"Gejala kanak-kanak melihat pornografi ini sememangnya berada dalam radar kementerian.

"Perkara berkenaan berlaku apabila wujudnya pendedahan teknologi dan internet yang tidak terkawal terhadap kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Pada Khamis, akhbar ini secara eksklusif melaporkan isu ketagihan menonton pornografi dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun membimbangkan kerana tiada perubahan ke arah lebih positif.

Ahli Sekretariat Malaysians Against Pornography (MAP), Abdullah Azzam Sufyan berkata, apa yang lebih merisaukan pihaknya ialah berlaku normalisasi menonton pornografi dalam usia berkenaan.

Iklan

Beliau berkata, ada dalam kalangan kanak-kanak ini terjebak dengan ketagihan menonton pornografi kerana pernah melihat ibu bapa dan adik beradik mereka yang lebih tua melihatnya di telefon pintar dan televisyen.

Mengulas lanjut, Rina berkata, agensi di bawahnya iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa komited dalam membanteras perkara tersebut daripada terus berleluasa.

Tegasnya, JKM akan memastikan persekitaran akses media yang selamat kepada kanak-kanak dengan mewujudkan Jawatankuasa Bersepadu Pengurusan Isu-isu Sosial Kanak-kanak di Media Sosial pada 15 Jun 2021.

Selain itu juga, JKM turut mempergiatkan advokasi dan intervensi melalui platform media sosial serta menambah baik aspek perundangan dengan menguatkuasakan aspek pengawalan ke atas laman web pornografi kanak-kanak.