Bekas pengetua maahad didakwa amang seksual lima pelajar

Iklan
Azizul mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas 15 pertuduhan amang seksual.

IPOH - Bekas pengetua sebuah maahad tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual ke atas lima pelajar lelaki pusat itu, tahun lalu.

Azizul Yahya, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu ke atas lima pelajar berusia 12 hingga 15 tahun di sebuah maahad tahfiz dalam daerah Batu Gajah antara Februari hingga Oktober 2021.

Bagi pertuduhan pertama hingga 14, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memaksa mangsa menghisap kemaluan, menggosok kemaluan, memegang kemaluan dan melakukan onani serta mencium bibir mangsa.

Iklan

Tertuduh turut berdepan satu pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan video lucah yang bersifat seksual.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 15(e) akta sama yang peruntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Katanya, lima mangsa yang terlibat dalam kes itu masih tinggal dan bersekolah di maahad berkenaan.

"Dikhuatiri akan berlakunya kacau ganggu ke atas mangsa, saksi awam dan saksi-saksi pendakwaan yang lain," katanya.

Tertuduh yang diwakili Peguam Muhamad Syahrul Nizam Mohd Rabi memohon satu jaminan diberikan atas alasan kes berkenaan bukanlah kes unbailable (tidak boleh dijamin langsung).

Jelasnya, tertuduh juga telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan polis termasuk membuat laporan serah diri.

"Berkaitan kebimbangan kacau ganggu, tertuduh kini tidak lagi bertugas di maahad berkenaan sejak kes dilaporkan, Oktober tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun mahkamah menerima permohonan pendakwaan dengan tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Di luar mahkamah, Muhamad Syahrul Nizam memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan bagi jaminan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat.