Operasi mencari kanak-kanak orang asli diteruskan

Iklan
Gambar hiasan

IPOH - Kehilangan kanak-kanak perempuan orang asli dalam hutan di Kampung Selaur berhampiran Kampung Padang Jeri di Gerik masih menjadi misteri apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemukannya walaupun sudah memasuki hari keenam pada Rabu.

Kamaliah Anab, 10, yang berambut keriting dan tinggal di Hutan Temenggor Kampung Selaur kali terakhir dilihat memakai baju kuning dan berseluar biru.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan Kamaliah pada kira-kira jam 10 pagi Jumaat lepas iaitu sehari selepas dia keluar mencari sumber makanan dan hasil hutan seperti rotan bersama keluarga dan rakan sebayanya.

"Mangsa (Kamaliah) disedari hilang selepas keluarganya pulang ke rumah. Pada hari kejadian, orang kampung ada mencari mangsa di kawasan sekitar berdekatan Hutan Temenggor namun gagal menjumpainya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pihak Sapura telah memulakan pencarian selepas menerima laporan namun belum memperoleh sebarang petunjuk.

"Pasukan SAR turut dipergiat dengan penglibatan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM," katanya.

Iklan

Sementara itu, Jurucakap JBPM Perak berkata, operasi pencarian yang diketuai pihak polis diteruskan pada jam 8.40 pagi tadi dalam jarak lapan kilometer.

"Operasi hari ini dijalankan dengan bantuan unit dron dari agensi luar bagi memudahkan pencarian di udara," katanya. - Bernama