Sokongan ASTAF tiada kaitan dengan PSM

Iklan
Abdul Halim

SOKONGAN Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) terhadap penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) adalah bertujuan untuk merancakkan kembali aktiviti penganjuran sepak takraw di rantau Asia.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, sokongan tersebut tidak ada kaitan dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang telah digugurkan sebagai ahli gabungan badan induk Asia itu pada Mei tahun lalu.

Iklan
Iklan

"ASTAF ingin menegaskan bahawa sokongan terhadap penganjuran liga STL tiada kaitan dengan PSM. ASTAF sentiasa bersifat terbuka untuk menerima entiti sepak takraw di Malaysia sebagai kerabat ASTAF.

"Dengan syarat seluruh kepimpinan terutamanya pemegang jawatan utama mestilah memiliki nilai amanah, integriti, telus, akauntabiliti dan bersikap adil kepada semua ahli gabungannya.

Iklan

"Kami juga tidak akan menerima sesebuah persatuan sukan yang barisan pucuk pimpinannya kerap membawa masalah, namun hak dan pembabitan mereka demi kemajuan sukan sepak takraw tidak akan sesekali dinafikan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Untuk rekod, PSM digugurkan keahlian daripada ASTAF dalam satu sesi pendengaran secara maya yang dihadiri beberapa ahli panel, antaranya dari India, Indonesia, Iran, Jepun dan Thailand pada 20 Mei tahun lalu.

Iklan

PSM didapati bersalah susulan tindakan bekas presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari tahun lalu.

ASTAFDP melihat tindakan itu jelas melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Pada masa sama, Abdul Halim berharap pemimpin persatuan sukan kebangsaan dipilih berdasarkan kebolehan dan ilmu pengetahuan yang bersesuaian dengan misi dan visi persatuan.

"ASTAF sentiasa memelihara hubungan baik dengan semua ahli gabungannya. Kami juga berharap agar entiti sepak takraw Malaysia nanti akan menghormati dan memelihara keharmonian bersama dalam keluarga besar ASTAF," ujarnya.