Gerak solo tawar khidmat cuci rumah mangsa banjir

Iklan
Khairul Rashid (kiri) bersama salah satu keluarga mangsa banjir yang dibantu dalam misi bantuannya sekitar Temerloh sejak empat hari lalu.

KUANTAN - Seorang anak muda dari Kuala Krau, Temerloh menawarkan khidmat mencuci rumah secara percuma kepada mangsa banjir sekitar Temerloh sejak empat hari lalu.

Khairul Rashid Ramli, 32, yang hanya bekerja sendiri bergerak solo dalam misi bantuannya itu.

Iklan
Iklan

Menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, mesin pam air dan sebuah mesin penyembur air, Khairul Rashid sentiasa bersedia apabila khidmatnya diperlukan.

Menurutnya, selepas khidmatnya diuar-uarkan melalui sebuah akaun Facebook, dia menerima ribuan panggilan sehari.

Iklan

"Bagaimanapun tidak semua permintaan dapat ditunaikan kerana saya hanya sendirian dan mampu membersihkan lima hingga 10 rumah sahaja sehari bergantung kepada keadaan.

"Saya faham, setiap individu yang membuat panggilan itu sangat memerlukan bantuan namun ia di luar kemampuan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Iklan

Dia berkata, khidmatnya bermula sejak pagi hingga malam dan ada pernah hingga awal pagi.

"Saya tidak meminta sebarang bayaran tetapi memerlukan pemilik rumah menyediakan minyak untuk mesin sahaja jika mereka mampu. Jika tidak, saya tetap membantu," katanya.

Kenderaan milik Khairul Rashid untuk bergerak dan membawa peralatan mencuci dalam misinya membantu membersihkan rumah mangsa banjir sekitar Temerloh sejak empat hari lalu.

Menurutnya, ada juga mangsa yang dibantu menghulurkan wang tetapi rezeki itu akan digunakan untuk membeli minyak bagi membantu mangsa lain pula.

"Bagaimanapun, kami mengalami masalah bekalan air dan saya terpaksa membawa bekalan air sendiri untuk kerja-kerja pembersihan.

"Hari ini, saya berada di Taman Mentakab Indah yang masih belum ada bekalan air dan terpaksa meminta bantuan sepupu untuk menghantar air.

"Operasi mencuci terganggu kerana kami terpaksa keluar mencari air dan kembali lagi untuk meneruskan khidmat. Ini antara cabaran yang terpaksa dihadapi ketika ini," katanya.

Menurutnya lagi, pada awal khidmatnya itu dia menggunakan perbelanjaan sendiri untuk membeli beberapa keperluan dalam misinya

termasuk tong air dan beberapa peralatan penting dalam proses pencucian.

Khairul Rashid berkata, khidmat ikhlas yang dihulurkan itu didorong atas rasa simpati terhadap mangsa banjir yang rumah mereka ditenggelami banjir.

"Saya tersentuh melihatnya. Dalam keadaan semua barang habis rosak, rumah pula diselaputi lumpur sudah tentu menyukarkan mereka untuk membersihkan tanpa bantuan terutama membabitkan warga emas.

Orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan atau membantu dalam usaha murni pemuda ini boleh hubunginya melalui talian 011-33407003.