Empat lelaki ditahan peras ugut, tumbuk muka pekedai

Iklan

KLANG - Seramai empat lelaki ditahan kerana memeras ugut seorang pekedai di sebuah premis kedai runcit tidak bernombor berdekatan Jalan Abadi 10, Taman Daya Maju, Meru di sini pada 12 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, dalam kejadian jam 12.01 tengah malam itu suspek bukan sahaja bertindak memarahi pekedai terbabit malah turut menumbuk muka mangsa.

Iklan
Iklan

"Mangsa merupakan seorang lelaki warga Bangladesh telah membuat laporan polis mendakwa didatangi empat lelaki tempatan yang tidak dikenali dan meminta wang perlindungan bulanan sebanyak RM600.

"Salah seorang daripada suspek telah memarahi serta menumbuk muka mangsa semasa sedang berniaga di kedai runcit tidak bernombor itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 38 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar daerah Klang pada hari sama.

"Semua suspek direman sehingga 28 Disember (Selasa) dan kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Iklan