46 PPS tempatkan 3,582 mangsa banjir di Selangor

Iklan
Beberapa orang awam dilihat meredah banjir kilat yang terjadi akibat limpahan air dari Sungai Damansara dan mengakibatkan jalan di Batu 3 Lebuhraya Persekutuan ditenggelami air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Sebanyak 46 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 3,582 mangsa banjir di Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor setakat jam 5 petang, Sabtu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua PPS itu dilengkapi keperluan asas seperti pakaian, makanan, cecair pembasmi kuman, pelitup muka serta bilik kecil untuk setiap keluarga mangsa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kesemua mangsa akan melalui saringan Covid-19 secara berkala dan percuma sebagai langkah pencegahan penularannya.

"Saya telah mengarahkan supaya Air Selangor menyediakan tangki air bergerak ditempatkan di PPS yang beroperasi untuk kegunaan penduduk terlibat.

Iklan

"Aset-aset kerajaan negeri dan agensi keselamatan akan dikerah, khususnya kenderaan redah banjir bagi tujuan pemindahan mangsa serta pengagihan barang keperluan asas," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Amirudin berkata, kejadian hujan luar biasa yang bermula seawal jam 10 pagi Jumaat dan masih berterusan sehingga kini di beberapa kawasan dengan taburan hujan mencecah 380 milimeter (mm).

Iklan

Jelasnya, taburan hujan itu adalah dua kali ganda lebih tinggi yang berlaku berbanding sebelum ini disusuli air pasang di beberapa terlibat mencecah sehingga 4.5 meter.

AMIRUDIN SHARI

"Sebanyak 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air pasang dan tidak selamat untuk dibuka bagi mengelakkan air melimpah keluar ke kawasan-kawasan perumahan penduduk yang berdekatan kunci air.

"Sebanyak 93 pam beroperasi secara penuh untuk mempercepatkan aliran air ke sistem perparitan sungai bagi mengawal kejadian banjir yang sedang berlaku di lima daerah di Selangor," katanya.

Tambahnya, Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam akan memantau perkembangan semasa banjir di lokasi terjejas.

Selain itu katanya, kerajaan negeri akan menggerakkan pasukan sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) bagi membantu proses menempatkan penduduk di PPS, mengagihkan bantuan awal serta proses pembersihan yang akan bermula selepas air pasang mula surut.

Pada masa sama, beliau menasihatkan penduduk di kawasan berisiko untuk mematuhi nasihat pasukan keselamatan dan bersiap siaga sekiranya diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir.

"Ini adalah untuk melindungi keselamatan anda dan keluarga pada waktu yang kritikal ini. Elakkan keluar rumah jika tiada keperluan mendesak. Jauhi tempat yang dinaiki air kerana ini boleh menyebabkan renjatan elektrik atau panahan petir.

"Kerajaan Negeri akan membuat segala yang mampu mengikut kapasiti untuk memastikan bantuan tiba kepada mangsa yang memerlukan pada waktu yang kritikal ini," ujarnya.