Orang Melayu tidak sanggup sokong UMNO boleh pilih Pejuang: Tun M

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - Orang Melayu dan bumiputera yang tidak sanggup menyokong UMNO kerana korupsi dan jenayah boleh menyokong Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kepimpinan Pejuang terdiri daripada bekas pemimpin UMNO yang berjaya membangunkan Malaysia serta berkhidmat untuk rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemimpin Pejuang dilatih supaya memegang kuat prinsip perjuangan UMNO dahulu iaitu berkhidmat untuk bangsa, negara dan agama bukannya untuk diri sendiri.

"Sehingga kini orang Melayu hanya kenal UMNO sebagai parti Melayu. Bagi mereka tidak ada pilihan jika nak sokong parti Melayu, melainkan UMNO.

"Malangnya parti UMNO sudah dirampas oleh perasuah dan penyangak. Mereka ini hanya berhasrat menggunakan UMNO dan orang Melayu untuk jadi kerajaan dan menggunakan kuasa kerajaan untuk memperkayakan diri mereka.

Iklan

"Sejak mereka ambil alih UMNO negara bertukar dari menjadi Harimau Asia kepada kleptokrasi iaitu negara yang diperintah oleh pencuri, penjenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Malaysia akan kekal sebagai kleptokrasi yang menyebabkan negara serta orang Melayu rosak dan hancur jika UMNO masih disokong.

Iklan

Oleh itu, ia menjadi sebab kepada penubuhan Pejuang iaitu parti Melayu atau bumiputera seperti UMNO.

Tambah beliau, dengan adanya Pejuang, orang Melayu dan bumiputera yang tidak sanggup sokong UMNO kerana korupsi dan jenayah boleh menyokong Pejuang, sebuah parti Melayu yang bersih dan cinta kepada bangsa, negara dan agama.

"Jika orang Melayu tidak sanggup beri undi kepada UMNO kerana sudah menyeleweng dan masih tidak percaya kepada parti berbilang kaum, maka Pejuang boleh dijadikan pilihan,” kata Dr Mahathir.

Tambah beliau, bukan sahaja Pejuang parti Melayu tetapi ia mendokong semua prinsip dan perjuangan UMNO dahulu yang melawan Malayan Union yang memerdekakan Malaya dan membangun negara sehingga dikenali sebagai Asian Tiger.

Menurut Dr Mahathir, Pejuang juga menentang rasuah, jenayah kewangan dan salah guna kuasa.

"Calon-calon Pejuang terdiri daripada mereka yang tidak terlibat dengan rasuah, yang utamakan bangsa, negara dan agama.

"Kita sedar adanya orang bukan Melayu dalam negara kita. Kerajaan yang kita dirikan akan dianggotai juga oleh bukan Melayu yang menolak rasuah dan percaya kepada kerjasama antara kaum dan agihan kekayaan secara adil antara kaum-kaum di Malaysia,” katanya.