LZS peruntuk RM69.3 juta untuk asnaf, golongan terkesan

Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan zakat kepada penerima.

LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta menerusi 19 inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli.

Program bermula 2 Julai lalu itu bagi membantu asnaf, golongan rentan, B40 dan institusi-institusi yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Iklan
Iklan

Inisiatif bantuan ini disasarkan akan memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi yang dilaksanakan secara berperingkat dan diteruskan sehingga kini sebelum dijadualkan berakhir Disember ini.

Empat agenda turut dirangka bagi memperkemaskan saluran agihan zakat secara bersasar dengan keutamaan untuk memenuhi keperluan asasi golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Iklan

Ini termasuk bagi meringankan beban golongan rentan termasuk golongan B40, selain menyokong pemulihan institusi agama di Selangor serta keperluan asas barisan hadapan.

Menurut Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini, sehingga Oktober, LZS telah mengagihkan lebih RM25 juta bantuan zakat kepada kumpulan rentan terkesan membabitkan hampir 16,000 penerima.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Sabirin berkata, jumlah fakir dan miskin juga meningkat berdasarkan data belum diaudit dari kira-kira 58,000 ketua keluarga pada awal tahun kepada hampir 63,000 ketua keluarga ketika ini.

Katanya, pada awalnya LZS menjangkakan kutipan zakat menurun pada waktu pandemik namun berlaku sebaliknya kerana komitmen tinggi diberikan pengeluar zakat.

"Kutipan sebelum pandemik iaitu tahun 2019 berjumlah RM855 juta dan tahun lepas meningkat kepada RM913 juta.

"Ini adalah masanya untuk kita memberi bantuan lebih kepada mereka yang terkesan, itu pertama sekali.

"Yang kedua kita menyeru kepada pembayar dan pengeluar zakat untuk segera membuat bayaran, jangan tangguh-tangguh,” katanya.

Beliau berkata, walaupun LZS merupakan institusi zakat yang membuat kutipan paling tinggi di seluruh negeri tetapi keperluan zakat di Selangor masih tidak mencukupi berdasarkan keadaan semasa.