Covid-19: Hanya tinggal empat kluster aktif di Sarawak

Iklan
Dua kluster Covid-19 di Sarawak diisytiharkan tamat hari ini sekali gus menjadikan hanya empat kluster masih aktif di negeri itu. - Foto fail Bernama

KUCHING - Dua kluster Covid-19 di Sarawak diisytiharkan tamat hari ini sekali gus menjadikan hanya empat kluster masih aktif di negeri ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak dalam kenyataan memaklumkan Kluster Jalan Demak Indah dan Kluster Jalan Perimeter Airport di Kuching tamat berikutan tiada kes baharu dicatatkan dalam kluster itu selama 28 hari.

Iklan
Iklan

Sementara itu, Sarawak hari ini merekodkan 171 kes baharu Covid-19 melibatkan 12 kes mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan manakala 159 kes lagi adalah mereka yang bergejala ringan dan tidak bergejala.

Enam kematian baharu turut direkodkan membabitkan satu kematian pada 17 November, dua kematian pada 21 November dan tiga kematian pada 22 November, menurut JPBN Sarawak.

Iklan
Iklan

Kematian pada 17 November itu melibatkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan di Hospital Bintulu yang tidak mempunyai sebarang latar belakang penyakit manakala kematian lain terdiri daripada mereka yang berusia antara 23 hingga 86 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit seperti obesiti, darah tinggi dan penyakit hati kronik. - Bernama