ACT platform terbaik ketengah skuad hoki wanita

Iklan
Juliani dilantik bagi menggalas tugas selaku kapten berdasarkan kepada pengalaman yang dimilikinya.

TROFI Juara-Juara Asia (ACT) yang dijadualkan berlangsung di Donghae, Korea Selatan mulai 5 hingga 12 Disember depan disifatkan sebagai platform terbaik untuk menilai prestasi skuad hoki wanita di peringkat antarabangsa.

Ketua jurulatih skuad projek khas wanita kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, kejohanan berkenaan juga mampu membentuk keyakinan setiap pemain terutamanya ketika beraksi dengan pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi.

Iklan
Iklan

"Selain itu, tidak ada tekanan kepada pemain tetapi ketika beraksi di kejohanan tersebut mereka perlu memberikan persembahan yang terbaik dan membuktikan mengapa mereka berhak untuk berada dalam skuad kebangsaan,” katanya pada Khamis.

Terdahulu, seramai 20 pemain skuad projek khas wanita kebangsaan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Razak.

Iklan

Difahamkan, 12 daripada 20 pemain yang tersenarai merupakan pemain yang tidak pernah membuat sebarang penampilan antarabangsa dan kejohanan itu akan menjadi pentas pertama bagi mereka meraih caps bersama pasukan kebangsaan.

Mohd Nasihin

Kejohanan yang menggunakan format liga satu kumpulan itu menyaksikan pasukan negara yang rata-ratanya diwakili pemain berusia dalam lingkungan 22 tahun melibatkan dua penjaga gol, tujuh pemain pertahanan, lima pemain tengah dan enam pemain mengemudi bahagian serangan.

Iklan

Pemain berpengalaman skuad negara, Juliani Mohamad Din, 35, dilantik bagi menggalas tugas selaku kapten berdasarkan kepada pengalaman yang dimilikinya.

"Pasukan yang akan ke Donghae merupakan pasukan projek jangka masa panjang iaitu bagi 2026, malah pasukan ini juga baru dibentuk. Selama dua tahun pasukan ini tidak mempunyai sebarang perlawanan termasuk perlawanan antarabangsa mahupun latihan di luar negara.

"Saya yakin dan percaya hanya Malaysia menghantar pasukan paling muda kerana pasukan-pasukan lain menghantar pasukan senior mereka ekoran ketika ini juga berlangsung Kejohanan Piala Dunia Remaja (Wanita).

"Perlawanan ini juga akan digunakan sebagai medan untuk memberikan pendedahan kepada barisan muda negara untuk mereka mendapatkan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa juga menentang pasukan-pasukan terbaik di Asia,” ujar Ahmad Najmi.