Pemandu terlelap sebabkan kemalangan didenda RM300

Iklan
Rakaman video tular membabitkan sebuah kereta yang terbabas ke laluan bertentangan.

KUALA PILAH - Seorang lelaki yang dipercayai hilang kawalan ketika memandu kereta sehingga menyebabkan kemalangan seperti dipaparkan dalam video yang tular di Facebook dikenakan denda.

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Pilah telah menerima laporan membabitkan kemalangan sebuah kereta dengan dua kenderaan lain pada 20 November lalu pada jam 3.30 petang.

Iklan
Iklan

"Kejadian berlaku di kilometer 27 jalan Seremban-Kuala Pilah dan video kejadian berkenaan tular di media sosial.

"Hasil daripada siasatan, pemandu kereta berwarna putih tersebut iaitu seorang lelaki berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Pahang telah mengalami ‘microsleep’ sebelum kenderaannya hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.

Iklan

Katanya, pemandu berkenaan telah dikenakan denda RM300 di bawah Peraturan 10 Kaedah Lalu lintas 1666/59.

"Dalam kesalahan berkenaan pemandu kereta tidak boleh tidur yang bermaksud pemandu kenderaan yang berjalan di jalan raya tidak boleh tidur atau lalai daripada mengawal kenderaan yang sedang berjalan itu,” katanya.

Iklan

Pada Ahad, tular sebuah rakaman video berdurasi 25 minit dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook pada 21 November lalu memaparkan sebuah kereta berwarna putih dilihat masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kenderaan lain di jalan Kuala Pilah- Seremban.

Kata Amran, bagaimanapun insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

"Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi serta provokasi berhubung kes berkenaan bagi memastikan kes tersebut diselesaikan dengan baik," katanya.