Perhilitan tangkap gajah liar di Felda Lok Heng

Iklan

JOHOR BAHRU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menangkap seekor gajah jantan di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, di sini pada minggu lepas.

Pengarah Perhilitan Johor Aminuddin Jamin berkata, tangkapan itu dibuat selepas menerima aduan daripada orang awam berhubung gajah liar yang berkeliaran di sekitar Felda berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, tangkapan dilakukan pada jam 11 pagi Selasa lalu dan gajah tersebut merupakan sebahagian daripada ID Panti (kumpulan gajah Panti) yang dianggarkan berjumlah 30 hingga 40 ekor.

"Kawasan keliaran gajah ini adalah di Felda Gugusan Lok Heng Barat, Felda Gugusan Waha, Felda Gugusan Air Tawar, Kampung Lukut, Kampung Temenin, Kampung Mawai dan sekitarnya.

Iklan

"Kumpulan gajah ini turut dikesan berkeliaran di Sungai Redan, Ulu Tiram dan kawasan hutan Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada)," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Aminuddin mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan haiwan liar yang cenderung menyerang mangsa jika berasa terancam atau untuk mendapatkan makanan.

Iklan

"Kita berharap agar kejayaan tangkapan ini dapat mengurangkan konflik gangguan gajah liar di kawasan keliaran haiwan tersebut.

"Sebarang aduan serta maklumat mengenai hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan menerusi talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya. -Bernama