830 individu disyaki 'keldai akaun' ditahan

Iklan
Gambar hiasan

SEREMBAN - Sebanyak RM20.89 juta kerugian melibatkan 2,330 kes penipuan dalam talian direkodkan di Negeri Sembilan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, ia menyumbang sebanyak 86 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah komersial.

Iklan
Iklan

"Jumlah kes penipuan yang direkodkan tahun ini meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,333 kes dengan kerugian RM18.83 juta.

"Peningkatan kes pada tahun ini adalah sebanyak 44.3 peratus atau 590 kes dengan tambahan kerugian lebih RM2 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, daripada jumlah kes berkenaan, seramai 830 individu telah ditahan kerana dipercayai terlibat sebagai 'keldai akaun' iaitu memberi maklumat akaun mereka untuk digunakan sindiket.

Beliau berkata, seramai 285 individu telah dituduh di mahkamah manakala baki yang lain dalam tindakan pihak polis untuk pertuduhan dalam waktu terdekat.

Iklan

"Ingin ditegaskan bahawa pemilik-pemilik akaun yang telah ditangkap serta dituduh akan menyebabkan butiran mereka dimasukkan dalam rekod jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ini sekali gus boleh menjejaskan sebarang urusan seharian mereka atau sukar mendapatkan peluang pekerjaan di kemudian hari," katanya.

Selain itu katanya, polis Negeri Sembilan akan memperhebatkan program pencegahan kes penipuan dalam talian sempena pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada Isnin.

Ujarnya, ini bagi memberi pendedahan kepada masyarakat awam supaya tidak terjebak dan menjadi mangsa kegiatan sindiket penipuan.

"Pendekatan diambil adalah dengan menguar-uarkan kepada orang ramai mengenai 'trend' jenayah dibuat oleh sindiket pada masa ini terutama melibatkan tujuh jenis kes penipuan.

"Ini termasuk pembelian dalam talian (e-dagang), Macau Scam, Love Scam, pinjaman tidak wujud, tipu tawaran pekerjaan, tipu pelaburan dan tipu penyamaran sebagai kenalan terdekat," katanya.