PRN Sarawak: Tujuh ADUN SUPP akan pertahan kerusi
Iklan
MIRI - Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) akan mempertahankan kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting pada Sabtu.
Beliau berkata, SUPP akan menghantar nama tujuh ADUN itu kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam masa terdekat.
Iklan
Iklan
"SUPP telah membuat keputusan kesemua tujuh penyandang, ADUN yang memenangi PRN Sarawak ke-11 akan dinamakan sebagai calon untuk pilihan raya kali ini,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar prapelancaran Batik Linut di sini pada Sabtu.
Selain Sebastian yang akan bertanding DUN di Piasau, enam ADUN lain ialah Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (Batu Kawa), Naib Presiden, Datuk Seri Lee Kim Shin (Senadin), Datuk Ding Kuong Hiing (Meradong) dan Datuk Seri Huang Tiong Sii (Repok), Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang) dan Lo Khere Chiang (Batu Kitang).
Iklan
GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP serta Parti Demokratik Progresif (PDP). Pada 24 Oktober lepas, Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, GPS akan bertanding di semua 82 kawasan PRN Sarawak.
Mengulas lanjut, Sebastian berkata, pada PRN Sarawak yang lepas, SUPP diberikan 20 kerusi dan beliau berharap pada pilihan raya kali ini juga mereka mendapat pengagihan kerusi yang sama seperti sebelum ini.
Iklan
"Semua jentera parti telah bersedia. Kami akan belajar daripada PRN Melaka kerana mereka akan menjadi yang pertama melaksanakan pilihan raya dalam keadaan norma baharu seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa tiada aktiviti berkumpul seperti kelaziman apabila berkempen.
"Saya percaya PRN Melaka akan menjadi garis panduan buat semua parti yang bertanding dalam PRN Sarawak,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Pas Sarawak yang mengesahkan akan bertanding di 11 kerusi DUN pada PRN Sarawak kali ini, Sebastian berkata, buat masa ini hingga ke hari penamaan calon pelbagai perkara boleh berlaku.
"Untuk PRN Sarawak ke-12 ini, banyak cerita yang sedang kita dengar... apa-apa pun kita hanya boleh tahu kesahihan perkara itu apabila tiba hari penamaan calon nanti,” tambahnya. - Bernama
<div itemscope itemtype="https://schema.org/VideoObject"><meta itemprop="name" content="Bersama lapor polis, bendera parti jadi sasaran vandalisme, dibakar secara sengaja"><meta itemprop="description" content="Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Abdul Rashid Abu Bakar membuat laporan polis selepas bendera parti di kawasannya menjadi sasaran vandalisme apabila didakwa dibakar secara sengaja dipercayai oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Abdul Rashid berkata, kejadian itu disedari petugas pilihan raya parti berkenaan antara jam 4 pagi hingga 7 pagi, Ahad lalu.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/802985/berita/politik/bersama-lapor-polis-bendera-parti-jadi-sasaran-vandalisme-dibakar-secara-sengaja
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.
#SinarHarian #BeritaSemasa #PRNMelaka #SuaraRakyat"><meta itemprop="uploadDate" content="2026-11-02T10:25:30.000Z"><meta itemprop="thumbnailUrl" content="https://s2.dmcdn.net/v/gYI9E1gw6KQ-f4B_n/x1080"><meta itemprop="duration" content="P121S"><meta itemprop="embedUrl" content="https://geo.dailymotion.com/player/xjdhm.html?video=xbsvkni"><meta itemprop="contentUrl" content="https://www.dailymotion.com/crawler/video/xbsvkni"><script src="https://geo.dailymotion.com/player/xjdhm.js" data-video="xbsvkni"></script>