TalentCorp, Mara Corp bangunkan modal insan kompetitif

Iklan
Dari kiri, Suhaili Abdul Rahman dan Thomas Mathew ketika menandatangani MoU di sini disaksikan Mahdzir Khalid dan M Saravanan.

KUALA LUMPUR - Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bersama Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan usaha dalam membangunkan modal insan kompetitif.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Daruk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan tenaga kerja dalam industri dan ekonomi negara khususnya graduan di bawah ekosistem pendidikan Mara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sinergi antara dua agensi tersebut mensasarkan 2,000 peluang pekerjaan profesional kepada graduan di bawah ekosistem pendidikan Mara.

"Ia terdiri daripada pelajar Institusi Pendidikan Mara (IPMA) dan pelajar di bawah tajaan pelajaran Mara.

Iklan

"Di samping itu, kedua-dua pihak juga akan merangka program-program khas yang bersesuaian dengan pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan Mara.

"Ia bagi memastikan graduan yang dilahirkan dapat memenuhi tuntutan industri dan mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi di alam pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU di sini pada Selasa.

Iklan

Majlis tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew dan Pengarah Eksekutif Mara Corp, Datuk Suhaili Abdul Rahman disaksikan Mahdzir Khalid dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Sementara itu, M Saravanan berkata, hasil kerjasama antara TalentCorp dan Mara Corp akan memberikan satu impak yang cukup besar kepada sektor pekerjaan negara.

Jelasnya, ia bukan sahaja memperkasakan saluran bakat bagi seluruh ekosistem Mara, tetapi dapat meningkatkan agenda bakat nasional, terutamanya dalam bidang pekerjaan graduan.

"Saya percaya kerjasama yang terjalin antara TalentCorp dan Mara Corp ini akan membawa kepada perubahan positif demi masa depan warga pekerja Malaysia,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, TalentCorp yang bertindak sebagai penghubung antara Mara dan pihak berkepentingan akan menawarkan insiatif sedia ada seperti program Nurturing Expert Talent (mynext), Structured Internahip Programme (SIP), Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR).

"Selain itu, Talent Mobility, Semester Break Programme (SBP), Young Employable Student (YES!) dan #KisahSiswa kepada graduan Mara,” katanya.

Beliau turut meminta agensi bawah kementeriannya untuk mengkaji secara mendalam berkaitan cabaran pekerja pada masa hadapan.

"Apa yang penting sekarang ini adalah kita mengenal pasti cabaran pada masa akan datang. Kita kena kenal pasti jaringan keselamatan yang sewajarnya dan cabaran.

"Pada masa sama, Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan TalentCorp perlu mengenal pasti peluang untuk masa akan datang,” ujarnya.