Kerajaan digesa pertimbang kadar cukai produk vape

Iklan

SHAH ALAM – Pemain-pemain industri berharap agar kerajaan boleh mempertimbangkan kadar cukai yang ditetapkan pada produk vape kerana dikatakan agak tinggi.

Presiden Malaysian Vape Industri Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, kadar cukai yang dikenakan kelak akan menjadikan produk vape lebih mahal berbanding rokok tembakau di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Sepatutnya, kadar cukai perlu rendah supaya harga produk vape tidak melebihi harga rokok dan menjadi insentif untuk perokok berhenti merokok melalui vape,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, kadar cukai yang ditetapkan menerusi bajet tersebut adalah RM1.20 untuk setiap mililiter cecair vape mulai 1 Januari 2022 dan ia telah naik dari kadar semasa iaitu RM0.40 untuk setiap mililiter.

Iklan

Beliau menyambut baik pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan duti eksais kepada produk vape bernikotin pada pembentangan Bajet 2022.

Katanya, pengumuman Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membuka satu harapan kepada pemain industri untuk melihat industri ini berkembang di peringkat domestik dan global.

Iklan

"Kami sambut baik pengumuman tersebut. Mengenakan cukai kepada produk vape bernikotin adalah satu tindakan ke arah perkembangan industri vape tempatan.

"Ia juga meletakkan negara berada pada landasan yang betul dalam mencapai matlamat meregulasikan keseluruhan industri vape,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Syed Azaudin Syed Ahmad turut memberikan pendapat yang sama agar kadar kenaikan itu perlu diperhalusi bersama industri sebelum ia dilaksanakan.

Jelasnya, kadar tersebut boleh memberikan kesan kepada pengilang tempatan dalam industri vape terutamanya produk cecair vape iaitu cukai boleh mencecah RM72 untuk setiap botol dengan isi padu 60 mililiter.

"Kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan satu peraturan dan melaksanakan kawal selia kepada keseluruhan ekosistem industri. Peraturan kawal selia haruslah mengambil kira pendekatan produk ini adalah kurang mudarat dan tidak patut dikawal sama seperti rokok.

"Ia bertujuan bagi membolehkan perokok berhenti merokok melalui vape dan pada masa yang sama memastikan produk mematuhi piawaian untuk keselamatan serta kualiti produk,” katanya.

Tambah Syed Azaudin, pemain industri terbuka untuk sesi konsultasi atau perbincangan bagi merangka peraturan kawal selia dan perlaksanaan cukai serta akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Kami bersedia untuk turut serta memberikan cadangan dalam merangka sebarang peraturan serta pelaksanaan percukaian berkaitan industri vape tanah air. Kami mahu Malaysia terus berada di tangga teratas sebagai antara pengeluar utama produk vape di dunia,” ujarnya.