Produk usahawan MAFI tembusi pasaran Don Quijote Jepun

Iklan
Antara produk My Kitchen yang mendapat permintaan menggalakkan di hadapan bangunan ikonik Tokyo Station. (Gambar kecil: Khalid)

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) Tokyo memperluas pelaksanaan program Malaysia Fair 2021 yang telah bermula di Mega Don Quijote Shibuya, Tokyo ke Mega Don Quijote Shin Sekai, Osaka, Jepun.

Don Quijote merupakan rangkaian pasar raya diskaun terbesar dan paling popular di Jepun serta sinonim dalam kalangan pelancong asing ke Jepun.

Iklan
Iklan

MAFI dalam satu kenyataan berkata, program itu telah dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Tuan Yang Terutama, Datuk Kennedy Jawan pada 15 September 2021 itu bertujuan untuk memperkukuh jenama Malaysia serta mempromosi dan mengkomersialkan 75 unit simpanan stok (SKU) produk makanan Malaysia.

"Sebanyak 15 SKU produk usahawan bimbingan MAFI dikomersialkan terutama di bawah jenama My Kitchen setelah melalui proses saringan, percubaan eksport dan promosi. Turut dipromosikan adalah produk makanan daripada jenama sedia ada di Jepun seperti ADABI, Ayam Brand, Life, BOH dan Brahim’s yang telah mempunyai penggemar tetap serta sebagai ‘crowd puller’ bagi mempromosi produk-produk baharu.

Iklan
Antara rangkaian 75 produk SKU yang dipromosikan di dalam program Malaysia Fair 2021 dengan kerjasama Donquijote Jepun.

"Buat julung kalinya juga nangka madu (J33) sejuk beku dikomersialkan di Jepun dengan kerjasama daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di mana ia merupakan salah satu produk buah-buahan yang diberi penekanan oleh PPP Tokyo untuk dipromosikan di Jepun selain durian Musang King,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyatan itu, selain pelaksanaan promosi di dua cawangan Don Quijote yang telah dirancang, program Malaysia Fair 2021 ini turut diperluas ke cawangan Don Quijote Yaesu, Tokyo Station atas jemputan berdasarkan sambutan dan maklum balas yang sangat memberangsangkan.

Iklan

"Sejak dimulakan pada 8 September 2021, nilai jualan yang telah dicatatkan ialah RM73,000 atau JPY2,000,000 di bawah program Malaysia Fair 2021 ini daripada sasaran jualan keseluruhan JPY5,000,000 sehingga hujung tahun 2021.

Perasmian program Malaysia Fair 2021 oleh Kennedy Jawan (tengah) diiringi Setiausaha Pertama PPP Tokyo, Mohd Fahmi Mokhy (dua dari kiri) dan Pengurus Besar Mega Doquijote Shibuya, OOtagoshi Futoshi (dua kanan).

"Konsep program Malaysia Fair ini juga telah mendapat perhatian daripada cawangan Don Quijote lain di Jepun dan dirancang akan diperluas ke cawangan Donquijote Sapporo, Sendai, Tokyo, Nagoya, Osaka dan Fukuoka pada tahun 2022,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan MAFI, Khalid Ibrahim berkata, perluasan program itu secara tidak langsung memberi peluang kepada lebih banyak usahawan kecil dan sederhana negara untuk mengkomersialkan produk makanan masing-masing terutama melalui jenama My Kitchen.

"My Kitchen ialah inisiatif konsilidasi produk makanan terpilih di bawah satu jenama besar dengan kerjasama MAFI dan SD Impex Sdn Bhd sebagai syarikat peneraju.

"Inisiatif MyKitchen serta penganjuran program promosi seperti Malaysia Fair merupakan usaha MAFI bagi mengoptimumkan peluang memenuhi permintaan makanan bersempena penganjuran acara bertaraf dunia di Jepun seperti World Expo Osaka 2025, Aichi-Nagoya Asian Games 2026 dan sasaran Jepun menerima 60 juta pelancong menjelang tahun 2030, selain menjadikan Jepun sebagai ‘global gateway’ bagi menembusi pasaran negara lain,” katanya.

Beliau berkata, program Malaysia Fair 2021 di Don Quijote Shin Sekai, Osaka akan bermula dari 29 Oktober hingga 31 Disember 2021.

Kennedy Jawan (enam dari kanan) diiringi Setiausaha Pertama PPP Tokyo, Mohd Fahmi Mokhy (empat kiri) dan delegasi-delegasi yang turut terdiri daripada wakil Don Quijote, MATRADE, Tourism Malaysia dan pengedar di hadapan Mega Donquijote Shibuya.