Nur Syazwani tidak sabar pamer kemampuan

Iklan
Nur Syazwani Sahar

PEMAIN boling wanita negara, Nur Syazwani Sahar tidak sabar untuk menunjukkan kemampuan dalam aksi Kejohanan Boling Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dari 4 hingga 16 November ini.

Meskipun pertama kali bertanding dalam kejohanan berprestij tersebut, atlet berusia 22 tahun itu yang juga bekas juara dunia remaja 2018, tidak gentar dan yakin mampu untuk sekali lagi mengharumkan nama negara.

Iklan
Iklan

"Saya teruja kerana telah lama mengimpikan untuk bertanding dalam kejohanan dunia, jadi saya rasa inilah masanya untuk saya membuktikan (kemampuan),” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya pada Rabu.

Nur Syazwani berkata, persediaan menghadapi kejohanan itu sedang berjalan lancar dan akan membantu beliau serta rakan sepasukannya untuk mempamerkan prestasi terbaik di Dubai.

Iklan

Skuad wanita negara dibarisi tujuh orang atlet dan empat daripada anggota skuad itu, termasuk Nur Syazwani, bakal membuat kemunculan sulung dalam kejohanan tersebut.

Sementara itu, juara bertahan perseorangan lelaki, Muhammad Rafiq Ismail hanya menyasarkan kedudukan 10 terbaik memandangkan ini adalah aksi kompetitif pertamanya sejak Sukan SEA 2019 di Manila.

Iklan

Pemain berpengalaman itu mengakui peserta daripada Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Sweden dan Kanada akan menyajikan cabaran sengit untuknya meraih emas pada kejohanan itu.

Sementara itu, Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Dr P S Nathan berkata 15 atlet boling yang terdiri daripada lapan pemain bagi pasukan lelaki dan tujuh atlet skuad wanita, akan bertanding untuk gelaran juara dunia di Dubai.

Bagaimanapun, pasukan wanita terpaksa mengatur strategi baharu apabila dua pemain senior iaitu Esther Cheah yang mengalami kecederaan lutut dan Sin Li Jane tidak dapat mengambil bahagian atas sebab-sebab peribadi.

"Kita mempunyai skuad lelaki yang berpengalaman manakala dua pemain boling wanita terbaik kita tidak dapat bertanding di Dubai.

Walaupun tiada pertandingan antarabangsa, saya perhatikan mereka telah berlatih dengan bersungguh-sungguh dan Pengarah Kejurulatihan kita Holloway Cheah telah melatih mereka dengan baik. Saya harap mereka akan berjaya menyumbangkan pingat nanti,” katanya.

Nathan sebelum itu menyaksikan penyerahan cek replika daripada CJ Century Logistics Holdings Berhad kepada MTBC iaitu penajaan dalam bentuk wang tunai untuk program-program persatuan itu bagi sesi 2021/2022. - Bernama


INFO


Skuad Kejuaraan Dunia IBF 2021

Skuad lelaki

1. Tun Ameerul Luqman Al-Hakim

2. Timmy Tan Chye Chern

3. Muhammad Rafiq Ismail

4. Ahmad Muaz Mohd Fishol

5. Syafiq Ridhwan Abdul Malik

6. Muhammad Hafiz Zainuddin

7. Muhammad Syazirol Shamsuddin

8. Nevern Netaneel Marcellinus

Skuad Wanita

1. Natasha Mohamed Roslan

2. Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman

3. Gillian Lim Siew Giok

4. Nur Syazwani Sahar

5. Nora Lyana Nastasia Norkamal

6. Nerosha Keligit Thiagarajan

7. Faten Najihah Ahmad Faik