DAN 2.0 pacu sektor agromakanan

Iklan
Sektor pertanian yang mampan memberi saingan yang positif kepada golongan petani dan peniaga.

Fokus aspek sekuriti makanan, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjadikan agenda utama kerajaan dalam memberi jaminan terhadap keselamatan bekalan makanan negara bagi memastikan ia bukan sahaja mencukupi tetapi mampu dimiliki, selamat dan berkualiti.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pemodenan sektor agromakanan juga akan turut dipacu melalui adaptasi mekanisasi dan teknologi dalam usaha untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Iklan
Iklan

"Ia seiring dengan perkembangan teknologi baharu dalam era digitalisasi serta adaptasi kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), peranan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diberi penekanan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ronald berkata, usaha itu bagi meningkatkan produktiviti, sistem sokongan dan perkhidmatan, serta memperkasa rantaian nilai makanan yang secara langsung menyumbang kepada kelestarian sistem makanan.

Iklan

Ronald

Menurutnya, seiring dengan usaha itu, Majlis Pelancaran DAN 2.0 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Oktober 2021 di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kuala Lumpur.

Iklan

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) merupakan dasar agromakanan baharu bagi menggantikan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020 yang telah tamat tempoh pada tahun 2020.

Haslina

"Terdapat enam objektif utama pelaksanaan DAN 2.0.Ia bertujuan meningkatkan pertumbuhan pendapatan dan kualiti hidup yang lebih baik bagi pengeluar makanan dan mempertingkatkan output pengeluaran serta kualiti penuaian melalui peningkatan produktiviti.

DAN 2.0 memacu pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan amalan penggunaan serta pengeluaran makanan secara mampan.

Objektif ketiga, mewujudkan rantaian nilai yang lebih tangkas dan berdaya tahan dengan aktiviti nilai tambah yang tinggi manakala objektif keempat untuk menambah baik sekuriti dan nutrisi makanan rakyat.

Sementara objektif kelima pula fokus kepada memacu pertumbuhan ekonomi, sosial dan inklusiviti serta objektif keenam ialah menggalakkan amalan penggunaan dan pengeluaran makanan secara mampan.

Menurut beliau, penggubalan DAN 2.0 adalah perlu dengan mengambil kira isu sekuriti makanan meliputi daya saing dan kemampanan berlandaskan prinsip dan teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030) termasuk Rancangan Malaysia (RMK12 dan RMK13) bagi menjayakan transformasi dan pemodenan sektor agromakanan.

Katanya, DAN 2.0 dirangka dengan mengambil kira situasi semasa sektor agromakanan negara, pencapaian sebelum ini, cabaran dan hala tuju sektor dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Cabaran-cabaran seperti sumber air dan tanah, rantaian nilai, tenaga kerja, aplikasi teknologi, perubahan iklim, tadbir urus, infrastruktur dan pelaburan serta peningkatan permintaan, perubahan diet dan keselamatan makanan akan ditangani melalui pelbagai strategi dan pelan tindakan yang digariskan,” katanya dalam program wawancara Selamat Pagi Malaysia mengenai Dasar Agromakanan Negara, baru-baru ini.

Jelasnya, antara komponen yang terkandung dalam DAN 2.0 ialah pernyataan dasar, tiga prinsip (ekonomi, sosial dan alam sekitar), enam objektif, lima teras dasar, 21 strategi teras dasar berserta 77 pelan tindakan dan 18 strategi subsektor berserta 58 pelan tindakan.

Fokus utama

DAN 2.0 akan memberikan fokus kepada aspek sekuriti makanan, pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dan pengeluar makanan.

DAN 2.0 bakal meningkatkan pertumbuhan pendapatan dan kualiti hidup yang lebih baik kepada golongan pengusaha pertanian.

Dalam aspek sekuriti makanan, DAN 2.0 akan memantapkan lagi usaha ke arah mempertingkatkan tahap pengeluaran petani dan pengusaha melalui aplikasi teknologi moden, pengurusan sumber secara mampan dan rantaian bekalan yang lebih cekap.

DAN 2.0 mensasarkan peningkatan tahap sara diri (SSL) komoditi makanan utama menjelang tahun 2030 iaitu:

- Beras 80 peratus
- Buah-buahan 83 %
- Sayur-sayuran 79 %
- Ikan makanan 98 %
- Daging lembu atau kerbau 50 %
- Daging ayam atau itik 140 %
- Telur ayam atau itik 123%
- Susu cecair 100%

Katanya, menerusi pertumbuhan ekonomi, sektor agromakanan terus mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif dengan kadar pertumbuhan 6.8% kepada RM51.3 bilion pada 2020 berbanding RM28.3 bilion pada 2011.

Bidang ternakan diberi fokus dengan matlamat meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan keselamatan makanan melalui amalan penternakan baik serta moden.

"Ini menunjukkan sektor agromakanan berpotensi untuk memberi sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi negara,” katanya.

Sektor pertanian akan dipergiat dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti.

DAN 2.0 akan fokus untuk memacu pertumbuhan sektor ini dengan aktiviti nilai tambah melalui pemerkasaan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I), penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) serta pemantapan dan pendigitalan rantaian nilai.

Mesin Jentuai Mini merupakan salah satu jentera yang digunakan

Dalam menuju ke status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, aspek sekuriti dan keselamatan makanan serta pemakanan juga perlu diberi penekanan dalam pembangunan masyarakat.

"DAN 2.0 akan turut fokus kepada amalan pertanian mampan dengan penggunaan sumber bio untuk meningkatkan keselamatan makanan dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

"Ia juga sebagai usaha mengurangkan kehilangan makanan dan pembaziran makanan dengan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber,” katanya.

Sektor agromakanan berpotensi untuk memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.

Skim pembiayaan, insurans dan skim perlindungan sosial turut diberi perhatian bagi menjaga kepentingan dan kelangsungan hidup pengeluar makanan.

Teras dasar

DAN 2.0 telah menyenaraikan 21 strategi dan 77 pelan tindakan dengan lima teras utama.

Teras pertama: Mendukung pemodenan dan pertanian pintar serta penekanan kepada R&D&C&I.

Teras kedua: Memperkukuh pasaran domestik dan eksport dengan meningkatkan hasil keluaran yang mempunyai permintaan tinggi.

Teras ketiga: Membangunkan bakat yang memenuhi permintaan industri dengan meningkatkan penglibatan belia dalam sektor agromakanan dan mewujudkan tenaga kerja mahir.

Teras keempat: Meningkatkan amalan pertanian dan sistem makanan yang mampan iaitu mengurangkan pembaziran makanan, penggunaan dan pengeluaran mampan, pemuliharaan biodiversity serta keselamatan dan nutrisi makanan.

Teras kelima: Menyediakan ekosistem perniagaan yang kondusif dan kerangka institusi yang kukuh meliputi penambahbaikan dalam aspek guna tanah, kewangan, infrastruktur, digital dan tadbir urus dalam sektor agromakanan.

Strategi dan pelan tindakan yang dirangka akan dilaksanakan oleh jabatan atau agensi MAFI dalam tempoh 10 tahun akan datang dalam tempoh jangka pendek (1-2 tahun), jangka sederhana (3-5 tahun) dan jangka panjang (6-10 tahun).

DAN 2.0 diharap dijadikan panduan utama dalam pembangunan sektor agromakanan negara oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya dalam usaha memodenkan sektor agromakanan dan mempertingkatkan sekuriti makanan negara.

"Sokongan semua pihak penting supaya aspirasi dan objektif DAN 2.0 dapat dicapai menjelang 2030,” katanya.

INFO

Majlis Pelancaran DAN 2.0

Dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Oktober 2021 di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kuala Lumpur.