JPN tubuh pasukan khas siasat dakwaan tidak daftar kematian

Iklan
Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Satu Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan untuk menyemak dakwaan maklumat rakyat Malaysia yang telah meninggal dunia tidak didaftarkan dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), khususnya bagi mereka yang berumur 90 tahun ke atas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pasukan yang ditubuhkan JPN itu akan menyemak dan mengemaskini maklumat dan status individu terlibat bagi mengesahkan status sebenar, sama ada masih hidup atau meninggal dunia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat 63,620 individu yang berusia 90 tahun ke atas yang masih hidup dalam rekod JPN ketika ini.

"Antara pendekatan yang digunakan oleh JPN bagi mengesan status mereka adalah dengan menghubungi waris terdekat dan mencari mereka di alamat terakhir yang didaftarkan dengan JPN.

Iklan

"Sekiranya kita mendapati mereka telah meninggal dunia berdasarkan pengesahan waris atau pihak-pihak tertentu, maka JPN akan mendaftarkan kematian mereka berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada.

"Saya juga menyeru kerjasama daripada semua pihak untuk membantu JPN dalam menyelesaikan perkara ini,” katanya sempena Sambutan Hari Pendaftaran Negara yang ke-73 secara dalam talian, pada Rabu.

Iklan

Selain itu katanya, JPN juga sedang membangunkan Sistem Pengesahan Data Integrasi Kematian (SPDIM), iaitu satu sistem perkongsian pintar antara JPN dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas Hamzah, SPDIM merupakan satu integrasi antara sistem JPN dengan Sistem Laporan Polis (PRS) yang melibatkan 690 balai polis di Semenanjung Malaysia.

"Sistem SPDIM ini memudahkan proses pengesahan kematian yang dilaporkan di seluruh negara dan melibatkan kematian yang tiada berunsur jenayah di rumah. Melalui sistem integrasi ini, JPN akan membuat pengesahan kematian ini secara dalam talian.

"Ia sekali gus mempercepatkan proses pendaftaran dan pengeluaran sijil kematian kepada waris,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pendaftaran pengundi yang berusia 18 tahun, Hamzah menjelaskan, JPN sentiasa bersedia membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan proses ini.

Ujar beliau, JPN sentiasa membantu dan memberikan akses sistem JPN kepada pihak SPR untuk mendapatkan maklumat individu yang layak mengundi serta bagi proses pendaftaran dan semakan daftar pengundi.