Siri Jelajah UK barakan mentaliti kemenangan Speedy Tigers

Iklan
Arulselvaraj ketika memberikan arahan taktikal kepada pemain Speedy Tigers semasa perlawanan persahabatan itu. - Foto MHC

SIRI Jelajah United Kingdom (UK) 2021 yang berakhir pada Selasa disifatkan berjaya mengembalikan momentum The Speedy Tigers selepas kemarau perlawanan kompetitif berikutan pandemik Covid-19.

Pemain berpengalaman, Muhammad Razie Abd Rahim berkata, secara keseluruhan siri jelajah UK sangat baik terutamanya dengan peningkatan dipamerkan pasukan dalam setiap perlawanan.

Iklan
Iklan

"Banyak perkara positif yang kami lakukan dalam siri jelajah ini tetapi masih ada lagi perkara perlu diperbaiki untuk dibawa ke kejohanan seterusnya.

"Pemain semua gembira dengan keadaan sekarang selain kami juga telah menetapkan standard iaitu kami perlu mencari kemenangan dalam setiap perlawanan,” katanya dalam kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada Selasa.

Iklan

Speedy Tigers menamatkan Siri Jelajah UK 2021 dengan mengikat Perancis 2-2 pada perlawanan persahabatan di Pusat Hoki Wales, malam tadi.

Kedua-dua pasukan turut mencatatkan keputusan seri 1-1 pada pertembungan Jumaat lalu.

Iklan

Malaysia melakar masing-masing satu kemenangan dan kekalahan dengan empat keputusan seri dalam aksi persahabatan, sementara dalam empat perlawanan ujian pula tamat dengan tiga kemenangan dan tewas sekali.

Speedy Tigers bimbingan A. Arul Selvaraj membuka jaringan menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-27 sebelum Perancis bangkit mendahului 2-1 hasil dua gol pukulan sudut penalti pada minit ke-38 dan ke-43.

Faizal Saari muncul wira negara apabila bijak menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-46 sekali gus menyelamatkan maruah skuad kebangsaan yang kini menduduki ranking ke-10 dunia berdepan Perancis di kedudukan ke-13.

Sementara itu, Arulselvaraj berkata:

"Siri Jelajah UK 2021 berjaya mencapai matlamat iaitu menamatkan siri ini dengan berada di kedudukan 10 pasukan teratas dunia dan kami bermain enam perlawanan bertemu pasukan kebangsaan antarabangsa."