EDISI

Negara kekurangan guru kanak-kanak istimewa

Nori ketika berucap dalam acara Kiwanis Malaysia Academy SEN Symposium 2021.
MUHAMMAD AMNAN HIBRAHIM

SHAH ALAM - Malaysia menghadapi masalah kekurangan guru berkemahiran untuk mengajar kanak-kanak istimewa yang memerlukan pendidikan khas.

Pengerusi Yayasan Budi Penyayang, Nori Tun Abdullah berkata, perkara itu merupakan antara masalah strategik dikenalpasti pakar pendidikan khas negara dan boleh disahkan oleh setiap ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah aliran terbabit.


“Penanda aras (bilangan guru pendidikan) di peringkat global adalah satu guru bagi setiap empat murid. Kita sekarang berada pada tahap satu guru bagi setiap 10 orang murid,” katanya ketika berucap dalam acara Kiwanis Malaysia Academy SEN Symposium 2021.

Hadir sama dalam acara yang diadakan secara maya itu ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Salmah Jopri dan Pengerusi Kiwanis Malaysia Academy, Datuk Fatimah Saad.

Nori berkata, negara memerlukan pendidik yang memiliki kemahiran mencukupi bagi mendidik pelbagai kategori pelajar.

Tambah beliau, sudah tiba waktunya rakyat dan pemimpin negara untuk mengubah pemikiran yang menganggap pendidikan khas sebagai sesuatu yang perlu dilakukan sebagai satu bentuk kebajikan.

“Kita harus menyedari bahawa kita semua akan mendapat manfaat daripada kepelbagaian pengalaman yang dialami oleh setiap manusia,” katanya.

Beliau yang merupakan isteri kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap, pendidikan khas dapat menjadi sesuatu yang mampu untuk dicapai oleh semua kanak-kanak istimewa tidak kira latar belakang dan kedudukan.

Pada masa sama, Nori menggesa semua pihak yang terlibat menjayakan pelaksanaan pendidikan khas di dalam negara supaya meningkatkan kerjasama dan perkongsian kepakaran antara satu sama lain.

Sementara itu, Salmah memaklumkan KPM ketika ini mempunyai 28 buah sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) dengan dua daripadanya adalah sekolah menengah kebangsaan pendidikan khas (SMKPK) dan empat sekolah menengah pendidikan khas vokasional (SMPKV).

Katanya, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPK dilaksanakan di 1,653 sekolah kebangsaan dan 909 sekolah menengah manakala program pendidikan inklusif (PPI) tanpa PPKI dijalankan di 2,613 sekolah kebangsaan serta 1,156 sekolah menengah.

“Jumlah keseluruhan Murid Berkeperluan Khas (MBK) bagi semua peringkat umur dan jenis sekolah serta program berdasarkan data setakat 30 Jun tahun lalu adalah seramai 96,549,” katanya.

Advertising
Advertising