Kejuaraan Dunia penampilan terakhir gandingan V Shem, Wee Kiong

Iklan
Foto Goh V Shem dan Tan Wee Kiong Fanspage

PEMENANG pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem berhasrat untuk membuat penampilan terakhir bersama gandingannya Tan Wee Kiong pada Kejuaraan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol dari 12 hingga 19 Disember depan.

Walaupun perjalanan sukar menanti pasangan nombor 13 dunia itu, V Shem optimis mereka mampu merangkul gelaran sebelum mereka berpisah demi kebaikan bersama selepas beraksi di Sepanyol.

Iklan
Iklan

"Sudah tentu kami mahu muncul juara di Sepanyol tetapi bukan mudah melakukannya. Saya harap kami dapat mempersiapkan diri dengan baik dan bermain sebaik mungkin dalam penampilan terakhir ini,” katanya kepada pemberita selepas dilantik sebagai Duta Vanilla Crepe dalam satu majlis sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Selepas mengumumkan untuk berpisah selepas tujuh tahun pada Ogos tahun lalu, gandingan profesional itu membuat pusingan U sebulan kemudian apabila bersetuju untuk melakukan aksi terakhir di Sepanyol.

Iklan

Beregu tersebut merupakan antara 48 beregu layak bersaing pada pusingan kelayakan Kejuaraan Dunia dalam senarai yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini.

V Shem, 32, akan membuat penampilan sulung bersama Low Juan Seen pada kejohanan Terbuka Denmark dari 19 hingga 24 Oktober ini manakala Wee Kiong akan berganding dengan Tan Kian Meng.

Iklan

Ditanya sasaran di Denmark, V Shem berkata, ia masih terlalu awal untuk menilai prestasi dengan pasangan baharu itu tetapi berharap untuk melakarkan persembahan terpuji di Odense Sports Park nanti. - Bernama