Tiada ADUN Pas Perak tarik sokongan

Iklan
Video berdurasi 6:48 minit itu mendakwa terdapat lima ADUN di Perak terdiri daripada Amanah, Pas dan Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri. Gambar kecil: Mohd Akmal

IPOH - Pas Perak menafikan dakwaan yang tular kononnya terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Setiausaha Pas Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, dakwaan tersebut langsung tidak berasas kerana Pas sebahagian daripada kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka tiada masa bermain politik ketika ini kerana tumpuan utama diberikan kepada usaha pemulihan pandemik Covid-19.

"Tak benar (dakwaan tarik sokongan terhadap kerajaan), memang kita masih kekal di dalam kerajaan. Kerajaan negeri sedang giat berusaha dan bekerja keras untuk bawa Perak ke fasa seterusnya.

Iklan

"Tumpuan kita ketika ini lebih kepada usaha memutuskan rantaian Covid-19 dan proses vaksinasi rakyat. Kita elakkan politiking," katanya yang juga ADUN Selama kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang tular menerusi satu rakaman video di YouTube mendakwa terdapat lima ADUN di Perak menarik sokongan kepada kerajaan sedia ada.

Iklan

Sementara itu, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin turut menafikan dakwaan tersebut dan menganggapnya sebagai palsu.

Dalam video berdurasi 6:48 minit itu, seorang individu mendakwa ADUN tersebut daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Pas dan Bersatu.

Video bertajuk Panas!!! 5 ADUN Perak tarik sokongan? Hilang majoriti? itu dimuat naik ke dalam YouTube pada Rabu dan mendapat lebih 10,000 tontonan.