Polis, rakan subahat didakwa edar dadah

Iklan
C Harethaess (kiri) dan P Darshan (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan mengedar dadah jenis ekstasi di Kota Southkey bulan lepas.- Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dan seorang lelaki yang bertindak sebagai ‘runner’ didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan mengedar dadah jenis ekstasi.

Anggota polis, C Harethaess, 27, dan rakan subahatnya, P Darshan, 19, didakwa bersama atas kesalahan mengedar dadah seberat 181.95 gram di tempat letak kereta berhadapan sebuah pusat penjagaan kesihatan di Kota Southkey di sini jam 9.45 malam pada 23 September lepas.

Iklan
Iklan

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Iklan

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq manakala peguam, Muhammad Firdaus Adnan, Muhamad Wafiq Hadie dan Amer Ashraf Azuddin mewakili Darshan.

Harethaess yang bertugas di balai polis di Negeri Sembilan, tidak diwakili peguam. - Bernama