PMI pembuatan Malaysia meningkat kepada 48.1 pada September

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123rf

KUALA LUMPUR - Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia oleh IHS Markit -- petunjuk komposit satu angka bagi prestasi pembuatan, meningkat kepada 48.1 pada September daripada 43.4 yang dicatatkan pada Ogos.

Menerusi nota penyelidikan pada Jumaat, IHS Markit menjelaskan walaupun bacaan terkini itu masih berada di bawah paras neutral 50.0 bagi menunjukkan penurunan momentum dalam sektor berkenaan, namun kadar penyusutannya adalah jauh kecil berbanding tempoh tiga bulan lalu.

Iklan
Iklan

"Kaitan terdahulu di antara PMI dengan perangkaan rasmi menunjukkan penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) baru-baru ini berkurangan secara ketara pada akhir suku ketiga, dan kenaikan yang dicatatkan PMI itu menjadi petanda baik bagi lonjakan momentum bagi bulan-bulan akan datang.

"Aliran pesanan baharu dan jumlah pengeluaran terus dikurangkan pada September, walaupun kadar penurunan bagi kedua-duanya adalah jauh lebih rendah dalam tempoh empat bulan. Kalangan pengilang melaporkan bahawa sekatan ketat akibat pandemik telah menjejaskan kapasiti pengeluaran dan permintaan pelanggan,” tambahnya.

Iklan

Ketua Pakar Ekonomi Perniagaan IHS Markit, Chris Williamson berkata, kenaikan PMI bagi September memberikan petunjuk jelas bahawa kelonggaran sekatan akibat pandemik baru-baru ini, di peringkat domestik dan di banyak pasaran eksport utama, sedang mendorong peningkatan ekonomi.

Beliau yang memetik Indeks Pengekangan Covid-19 IHS Markit berkata sekatan bertujuan memerangi virus itu dilaksanakan semula di Malaysia sehingga mencatatkan paras terendah sejak April, memudahkan pengeluaran dan membantu meredakan penyusutan permintaan.

Iklan

"Kemajuan program vaksinasi yang lebih baik dan kes pandemik pula berada dalam aliran menurun sepanjang September telah mendorong keyakinan baru terhadap prospek ekonomi dan meningkatkan keyakinan perniagaan ke tahap tertinggi sejak April.

"Oleh itu, data tinjauan menambah petanda bahawa ekonomi telah berubah pada akhir suku ketiga susulan kadar penurunan adalah lebih kecil, serta peningkatan jangkaan masa depan dan indikator jumlah pesanan yang diterima perniagaan menunjukkan pertumbuhan akan meningkat dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Menurut IHS Markit, permintaan asing untuk barangan perkilangan Malaysia juga menjadi sederhana, namun kadarnya lebih baik berbanding jumlah pesanan baharu memandangkan sebilangan panel melaporkan perbelanjaan bagi permintaan di Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Ia menambah, pengurangan pesanan eksport baharu adalah sederhana, namun ia akan menjadi yang terkecil sejak Mei.

"Para pengilang Malaysia melaporkan bahawa pekerjaan menurun sedikit bagi bulan kedua berturut-turut pada September berikutan perniagaan menunjukkan kesukaran untuk mengambil pekerja asing dalam situasi sekatan sempadan yang ketat.

"Kekurangan kapasiti produktif, ditambah dengan kekurangan bahan yang berterusan telah menyumbang kepada peningkatan pekerjaan yang tertangguh, ”jelasnya.

IHS Markit menjelaskan walaupun terdapat sekatan terhadap ekonomi dan gangguan bekalan berterusan, pengilang semakin yakin bahawa pengeluaran akan meningkat pada tahun depan, dan berharap dengan berakhir pandemik itu, ia akan menggalakkan projek baharu untuk bermula dan membantu pemulihan keseluruhan dalam permintaan pasaran.

"Justeru, tahap keyakinan akan mencecah paras tertinggi bagi tempoh sejak April,” katanya. - Bernama