Agrobank sumbang 600 kotak makanan

Iklan
Dari kiri: Pengurus Cawangan Agrobank Kodiang, Baharom Ramli; Abdul Hamid; Kamarul Azlan dan Ketua Bahagaian Jualan dan Perkhidmatan Agrobank Wilayah Utara, Norafiza Ani Abdullah pada program sumbangan bantuan makanan di Dewan Komuniti Nelayan, Kompleks LKIM di Kuala Kedah, baru-baru ini.

KUALA KEDAH – Agrobank menerusi program Agrobank dan Komuniti menyumbangkan 600 kotak makanan bernilai RM49,000 kepada komuniti nelayan di Kuala Kedah yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), baru-baru ini.

Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, Agrobank bekerjasama dengan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) untuk membantu mereka yang terjejas berikutan hilang punca pendapatan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kebanyakan mereka tidak boleh turun ke laut untuk menangkap ikan dan terputus hubungan logistik berikutan arahan PKPD membabitkan hampir seluruh kawasan di mukim Kuala Kedah.

"Kami memahami kesukaran yang sedang dihadapi oleh komuniti nelayan di Kuala Kedah apabila kehidupan mereka terjejas akibat tidak dapat ke laut untuk mencari rezeki.

Agrobank menyerahkan 600 kotak makanan menerusi Program Agrobank dan Komuniti kepada komuniti nelayan di Kuala Kedah yang terkesan dengan PKPD, baru-baru ini.

Iklan

"Diharapkan inisiatif program Agrobank dan Komuniti ini dapat meringankan beban yang dihadapi komuniti nelayan di sana untuk meneruskan kehidupan seharian mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Khadijah berkata, kerjasama strategik antara Agrobank dan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah bersama Nekmat adalah kesungguhan mereka untuk membantu komuniti agro, khususnya dalam kalangan nelayan yang terkesan dengan situasi semasa.

Iklan

"Menerusi program ini, kami menyalurkan bantuan barangan berupa makanan asas seperti beras, susu, biskut, gula serta keperluan lain,” katanya.

Beliau berkata, misi bantuan di Kuala Kedah itu merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank bertujuan untuk mendekati komuniti setempat di kawasan bank terbabit beroperasi.

Sesi penyerahan sumbangan disempurnakan Ketua Bahagian Komersial Agrobank Wilayah Utara, Kamarul Azlan Razak kepada Pengerusi Nekmat, Abdul Hamid Bahari di Dewan Komuniti Nelayan, Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini.