City pamer prestasi ‘lima bintang’

Iklan
Sebahagian pemain City meraikan kemenangan ke atas Wycombe.

AKSI ‘lima bintang’ ditampilkan barisan pemain muda Manchester City ketika membenam Wycombe Wanderers 6-1 dalam pusingan ketiga Piala Liga pada awal pagi Rabu.

Pengendali City, Pep Guardiola nyata gembira melihat rentak permainan The Citizens khususnya pemain akademi kelab itu yang berusia antara 17 hingga 19 tahun.

Iklan
Iklan

"Walaupun menurunkan ramai pemain muda termasuk pemain simpanan, tetapi kami telah mempamerkan aksi yang hebat. Kami berjaya menguasai perlawanan sejak wisel permulaan.

"Malah, salah seorang daripada mereka, Cole Palmer juga telah berjaya menjaringkan gol. Mereka berkemungkinan besar akan diberikan peluang beraksi dalam skuad utama,” katanya.

Iklan

Beraksi di laman sendiri - Stadium Etihad, City terlebih dulu dikejutkan dengan gol pembukaan Wycombe yang dijaringkan Brandon Hanlan pada minit ke-22.

City menyamakan kedudukan menerusi Kevin De Bruyne pada minit ke-29 sebelum pesta gol The Citizens bermula dengan jaringan Riyad Mahred (43 dan 83), Phil Foden (45), Ferran Torres (71) dan Palmer (88).

Iklan

Dalam pada itu, Guardiola berkata, dia berasa cukup gembira dengan kehadiran penonton di Etihad bagi menyaksikan perlawanan tersebut.

"Terima kasih kepada semua penonton yang hadir ke stadium. Saya pasti mereka gembira menyaksikan perlawanan ini. Mereka juga pasti gembira menyaksikan aksi cemerlang barisan pemain muda kami,” ujarnya.