MAFI peruntuk RM1.53 bilion bantu pesawah

Iklan
Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan sebanyak RM1.53 bilion bagi meneruskan program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha tanaman padi di Malaysia tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukan itu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kira-kira 300,000 pesawah di seluruh negara dengan mengurangkan kos mereka sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pengeluaran padi.

Iklan
Iklan

"Sehubungan itu, seperti yang dicadangkan Ahli Yang Berhormat, MAFI sememangnya sedang mengalihkan orientasi pemberian subsidi dan insentif daripada input kepada output secara beransur-ansur.

"Sebagai contoh, program bantuan output pertanian bersubsidi iaitu Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) juga telah dinaikkan daripada RM300 kepada RM360 bagi setiap satu tan metrik padi bersih bermula Januari 2019.

Iklan

"Ia bermatlamat menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah.

"Selain itu, MAFI akan terus berunding dengan Kementerian Kewangan berkenaan pelaksanaan pendekatan pemberian subsidi dan insentif yang berasaskan output yang akan menggalakkan pesawah untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi, di samping mewujudkan self regulated industry secara beransur-ansur," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas- Sik) sama ada kementeriannya bercadang mengkaji pemberian subsidi berasaskan output dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi negara di samping terus menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah.

Mengulas lanjut, Kiandee berkata, sebarang pengurangan atau penarikan bantuan subsidi dan insentif input pertanian secara drastik tidak disyorkan pada masa ini kerana menjejaskan pendapatan pesawah langsung.

"Hasil 'Kajian Empirikal Kesan Subsidi ke atas Pengeluaran Padi dan Pendapatan Petani' oleh Universiti Putra Malaysia pada tahun 2019 menyatakan kedua-dua subsidi dan insentif berasaskan input dan output masih diperlukan bagi memastikan pulangan lestari kepada pesawah pada masa ini.

"Dalam hal ini, pendekatan ini akan dilaksanakan dengan perancangan yang teratur dan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh," katanya.