NGO disaran salur bantuan terus ke pusat gelandangan

Iklan
Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR - Badan bukan kerajaan (NGO) disaran menyalurkan bantuan terus ke pusat gelandangan berbanding amalan kebiasaan membantu golongan itu di jalanan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kaedah berkenaan lebih sistematik dan memudahkan proses kawal selia dilaksanakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, segala pertolongan atau bantuan juga diharap dapat disalurkan ke pusat gelandangan yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Contohnya di Medan Tuanku, Anjung Singgah dan Pusat Transit Gelandangan kerana platform disediakan ini jauh lebih baik berbanding keadaan dan amalan memberi bantuan kepada gelandangan di jalanan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, penyaluran bantuan di jalanan mengundang implikasi besar kepada persekitaran bandar raya itu dan beberapa isu lain termasuk kesihatan gelandangan.

Beliau berpandangan, khidmat dan peranan dimainkan NGO dalam mengurangkan beban hidup gelandangan ini wajar dipuji dan mendapat pengiktirafan atas dasar keprihatinan sesama manusia.

Iklan

"Bagaimanapun, secara tidak sedar kita sudah mencipta beberapa masalah sampingan terhadap nilai kemanusiaan dan kesejahteraan di bandar negara ini," katanya.

Jalaluddin berkata, masalah dan cabaran sering berlaku adalah keadaan bandar raya semakin kotor disebabkan koridor bangunan dan laluan pejalan kaki dijadikan tempat perlindungan diri serta berteduh.

Beliau berkata, perkara ini turut mendedahkan gelandangan dengan risiko penularan wabak berbahaya dan berjangkit seperti Covid-19, denggi, taun, tibi dan seumpamanya.

Beliau menambah, lebih merisaukan, keadaan tempat tinggal tidak selesa dan tidak bersih boleh mengakibatkan berlaku masalah mental dalam kalangan kumpulan gelandangan ini.

"Kita tidak boleh membiarkan mereka berterusan menjadi gelandangan, sebaliknya dibantu keluar dari zon selesa yang mereka 'cipta' sendiri dan pelbagai NGO boleh bersama-sama menjayakan hasrat kerajaan ini.

"Dalam masa terdekat ini, saya merancang mengadakan satu sesi 'town hall' bersama semua NGO yang aktif membantu kumpulan gelandangan bagi mencari penyelesaian atau kaedah terbaik membantu mereka ini," katanya.