2,168 warga emas terima Bantuan Prihatin Pahang

Iklan
Wan Rosdy merasmikan Program Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Pahang secara maya yang disiarkan di laman sosial Facebook Pahang Media pada Rabu.

KUANTAN - Seramai 2,168 warga emas di negeri ini telah menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) daripada kerajaan negeri membabitkan aplikasi kewangan sebanyak RM542,250.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan bernilai RM250 itu diagihkan kepada warga emas berusia 80 tahun ke atas secara 'one-off'.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini membuktikan pihak kerajaan tidak pernah meminggirkan keperluan warga emas terutamanya bagi mereka yang sudah disenaraikan sebagai penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bukan itu sahaja, seramai 20,698 orang kelainan upaya (OKU) turut diberikan sumbangan. Malah bantuan 'one-off' sebanyak RM250 diberikan kepada peserta e-Kasih miskin tegar, selain kenaikan Kadar Bantuan Am JKM dari RM300 kepada RM350 sebulan mulai Januari lalu serta peruntukan RM10,000 kepada 52 buah PDK untuk memberi latihan serta pemulihan kepada OKU,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Pahang secara maya yang disiarkan di laman sosiao Facebook Pahang Media pada Rabu.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ibrahim serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Iklan

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, hampir lapan peratus daripada jumlah penduduk Malaysia pada hari ini terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Menurutnya, jumlah tersebut dijangka akan meningkat dalam dekad-dekad yang mendatang.

"Mengikut unjuran penduduk 2010 hingga 2040 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penduduk berusia 60 hingga 74 tahun dan ke atas yang berjumlah 1.8 juta orang pada tahun 2010 akan meningkat kepada 4.5 juta orang pada tahun 2040, iaitu peningkatan hampir 2.5 kali ganda

"Bagi warga emas berusia 75 tahun dan ke atas pula akan bertambah daripada 0.5 juta orang (2010) kepada 1.8 juta orang (2040), yakni peningkatan hampir empat kali ganda dalam tempoh yang sama,” katanya.

Beliau menjelaskan susulan peningkatan itu permintaan terhadap kemudahan dan perkhidmatan pelbagai kumpulan umur warga emas akan meningkat.

Sehubungan itu, Wan Rosdy mengingatkan warga emas agar terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak daripada terkena jangkitan Covid-19.