SRI AMAN - Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa memantau keperluan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 negeri itu mengikut situasi dari semasa ke semasa.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pemantauan itu juga melibatkan arahan kuarantin wajib 14 hari bagi kemasukan ke negeri berkenaan.
"Buat masa ini (kuarantin wajib 14 hari) masih berkuat kuasa. Kami masih lagi memantau situasi tersebut.
"Jika kita dah sampai pada satu tahap tertentu (yang lebih baik) iaitu apabila Kementerian Kesihatan maklumkan bahawa kita sudah capai ke satu tahap tertentu barulah kita boleh melihat semula SOP terutama mengenai kemasukan ke negeri ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Sri Aman di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri juga mempertimbangkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi di negeri ini.
"Kita perlu lihat Program Imunisasi, sekiranya sudah lengkap sudah tentu ketahanan masyarakat terhadap Covid-19 juga akan meningkat maka kita dapat buka sektor-sektor ekonomi.
"Kita perlu meneruskan hidup dengan Covid-19, setakat ini juga di Sarawak walaupun jangkitan tinggi, 99 peratus daripada kes positif adalah tidak bergejala. Ini menunjukkan kita sedang menuju ke peringkat endemik dan kita ada ketahanan kerana jangkitan tidak serius,” katanya. - Bernama