Pekerja kilang parah ditikam rakan kerana hutang

Iklan
Gambar hiasan

KLANG - Seorang pekerja kilang besi cedera parah dipercayai ditikam rakannya sendiri dalam kejadian di sebuah hostel di Persiaran Selat Selatan 1, Pandamaran, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada penyelia di hostel berkenaan.

Iklan
Iklan

"Dalam kejadian kira-kira jam 1.25 petang itu, mangsa, lelaki warga Myanmar ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan kesan cedera di muka, leher dan belakang badan serta sebilah pisau berada tidak jauh dari mangsa.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Katanya, seorang lelaki warga Myanmar, 22, yang disyaki terlibat dalam kejadian itu telah diberkas di hadapan hostel berkenaan.

"Motif kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati berkenaan hutang mangsa," katanya.

Iklan

Menurutnya, suspek direman 14 hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.