Datuk tidak mengaku palsukan dokumen kartel penipuan projek kerajaan

Iklan
Adly didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 69 pertuduhan berhubung sindiket kartel penipuan projek-projek kerajaan, bermula dua tahun lalu. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib

SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, berdepan hukuman penjara sehingga 483 tahun apabila dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas 69 pertuduhan memalsukan dokumen berhubung sindiket kartel penipuan projek-projek kerajaan, bermula dua tahun lalu.

Adly Kamarudin, 47, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan lebih sejam di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Iklan
Iklan

Mengikut kesemua pertuduhan, Adly didakwa melakukan persubahatan dengan mengarahkan seramai lapan pekerjanya untuk memalsukan 69 dokumen pelbagai projek dengan tujuan menipu Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Antara dokumen tersebut ialah surat setuju terima tender kerja-kerja naik taraf dan baik pulih bangunan, cadangan pembangunan projek perumahan dan kedai, cadangan naik taraf perpustakaan, stadium hoki serta penyelenggaraan pemasangan elektrikal.

Iklan

Kesalahan didakwa itu dilakukan di sebuah rumah banglo, Bandar Baru Bangi, bermula Jun 2019 hingga September 2020.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib membantah sekiranya tertuduh diberi ikat jamin kerana kesalahan berkenaan termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

"Namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk melepaskan tertuduh dengan ikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan RM500,000 dengan sekurang-kurangnya seorang penjamin.

"Tertuduh juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan diarah lapor diri di pejabat SPRM terdekat," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang mempunyai perniagaan pelancongan di Jakarta, Indonesia diwakili peguam Md Yunus Shariff merayu agar pasport anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah.

"Anak guam saya mempunyai urusan perniagaan di luar negara, maka serahan pasport akan menyukarkan urusan perniagaannya kelak.

"Pihak kami sedia untuk membuat aku janji dan menulis surat makluman jika berhasrat ke luar negara," katanya.

Beliau juga memohon, agar bayaran ikat jamin dapat diselesaikan selewat-lewatnya pagi Khamis memandangkan jumlah ikat jamin yang dicadangkan sangat tinggi selain waktu bagi urusan perbankan ketika pandemik Covid-19 telah disingkatkan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga katanya, dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan, memaklumkan kepada mahkamah menerusi e-mel, tujuh hari jika berhasrat mahu ke luar negara dan penyelesaian ikat jamin sehingga pagi Khamis.

Mahkamah menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes.

Pada 5 April lalu, Sinar Harian melaporkan SPRM menumpaskan sindiket kartel projek dengan penahanan tujuh individu termasuk seorang ketua sindiket.

Menurut sumber, sindiket kartel projek yang beroperasi sejak 2014 itu telah memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek RM3.8 bilion.