Julie's sertai barisan jenama besar Malaysia di Ekspo Dubai 2020

Iklan

JENAMA biskut buatan Malaysia, Julie’s telah mendaftar untuk menjadi rakan industri Pavilion Malaysia di Ekspo Dubai 2020, menjanjikan kemanisan untuk pengunjung pavilion itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor mengumumkan bahawa Julie’s yang boleh didapati di UAE dan di lebih 80 negara, sekali lagi bekerjasama dengan Pavilion Malaysia di ekspo dunia.

Iklan
Iklan

Ekspo dunia tersebut, bertemakan 'Connecting Minds, Creating the Future' akan diadakan mulai 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dengan penyertaan lebih 190 negara dan organisasi.

Penyertaan Malaysia di Ekspo Dubai 2020 diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan MGTC sebagai agensi pelaksana.

Iklan

Shamsul Bahar berkata, penyertaan Pavilion Malaysia di ekspo itu akan mempamerkan produk dan perkhidmatan Malaysia yang terbaik dan Julie’s yang ditubuhkan pada tahun 1985, bukan sahaja terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi telah berjaya menguasai pasaran di lebih 80 negara.

"Jenama biskut itu turut menggunakan minyak sawit Malaysia yang menyokong inisiatif Pavilion untuk mempromosikan komoditi pertanian mampan Malaysia melalui kandungan dan program pamerannya,” katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau mendedahkan bahawa di Ekspo Astana 2017 di Kazakhstan, produk Julie’s mendapat perhatian ramai pengunjung, dan syarikat akan memberikan kepuasan ini kepada mereka yang mengunjungi Pavilion Malaysia di Ekspo Dubai 2020.

Shamsul Bahar berkata program Malaysia pada ekspo itu dirangka untuk memberi peluang kepada syarikat Malaysia mendapat akses ke pasaran global.

"Penglibatan nama-nama besar dalam industri, yang bertindak sebagai rakan kongsi Pavilion Malaysia, akan menggalakkan syarikat Malaysia yang lain untuk memanfaatkan Ekspo Dubai 2020, terutamanya dengan menyertai 26 program mingguan perniagaan dan perdagangan berdasarkan tema tertentu,” katanya.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Julie’s, Martin Ang berkata, ini merupakan kali keempat syarikat terlibat dengan Pavilion Malaysia di ekspo dunia.

"Ini adalah peluang untuk Julie’s mempromosikan identiti dan kemampuan Malaysia di platform global,” katanya dalam kenyataan sama.

Ang turut memberitahu bahawa Julie’s akan menayangkan rancangan memasak setiap minggu oleh chef selebritinya di amfiteater Pavilion Malaysia untuk menunjukkan bagaimana seseorang dapat menyediakan pelbagai resipi dengan mudah menggunakan produk Julie’s, yang pasti akan menggembirakan pengunjung dan pengikut media sosial Julie’s.

Julie’s akan melancarkan dua kempen berturut-turut sepanjang pameran itu – peraduan Spend and Win dan penebusan Gift With Purchase untuk alas pastri mesra alam Julie’s - untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyertaan Malaysia di Ekspo Dubai 2020.

Selain daripada inisiatif penjenamaan semula yang meraih anugerah baru-baru ini dan kempen Eid al-Fitr 2021, Julie’s terkenal dengan jenama biskutnya yang berkhasiat, dengan Peanut Butter Sandwiches, Love Letters, Le-mond Cream Puff Sandwiches, OAT 25, Butter Crackers dan banyak lagi. - Bernama