[VIDEO] 'Pengawal keselamatan diserang video lama'

Iklan
Video seorang pengawal keselamatan diserang seorang lelaki berlaku pada 29 Disember tahun lalu yang ditularkan semula menerusi aplikasi WhatsApp.

IPOH - Polis mengesahkan video seorang pengawal keselamatan diserang seorang lelaki di sebuah kondominium di sini yang tular melalui aplikasi WhatsApp sejak 26 Ogos lalu merupakan video lama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil semakan mendapati insiden berkenaan berlaku pada 29 Disember lalu dan kertas siasatan mengenai kejadian tersebut telah dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak, suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah atas bangkitan marah.

"Pada 27 Ogos lalu, mangsa telah meninggal dunia di rumahnya dan hasil bedah siasat pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada hari sama mendapati punca kematian disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.

Iklan

"Namun, kejadian ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga mangsa dengan mendakwa punca kematian disebabkan kejadian pukul tersebut serta menularkan rakaman video dan gambar mangsa ketika kejadian pada 29 Disember 2020 itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mior Faridalathrash berkata, hasil siasatan polis mengenai kejadian serangan itu sebelum ini berpunca daripada tindakan suspek tidak berpuas hati kerana mangsa menghalang anak suspek menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, kes tersebut dijadualkan disebut semula di Mahkamah Majistret Ipoh pada 9 September depan untuk menetapkan hukuman.

"Berdasarkan keterangan baharu ini, pihak polis akan merujuk semula kertas siasatan terhadap kes berkenaan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan selanjutnya.

"Pihak polis memandang serius terhadap sebarang aktiviti jenayah yang berlaku dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan jenayah yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dengan adil dan telus," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut memandangkan ia masih dalam perbicaraan mahkamah.