Ibu tunggal, kekasih ditahan disyaki dera tiga anak

Iklan

PETALING JAYA - Polis menahan seorang wanita dengan kekasihnya kerana disyaki mendera tiga anaknya di sebuah pangsapuri di Kota Damansara di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu mengenai penderaan tersebut.

Iklan
Iklan

"Siasatan mendapati rumah berkenaan dihuni wanita berkenaan yang merupakan seorang ibu tunggal dan kekasihnya. Turut menghuni rumah itu ialah tiga anak wanita berkenaan.

"Wanita itu menyerahkan salah seorang anak perempuannya berumur empat tahun kepada seorang lagi wanita iaitu pengadu untuk dijaga.

"Pengadu kemudian membawa kanak-kanak berkenaan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas badan kanak-kanak itu mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat didera.

"Polis kemudian menjalankan serbuan di rumah ibu tunggal itu kira-kira jam 4 petang Jumaat.

Iklan

"Wanita berumur 30 tahun dan kekasihnya berusia 38 tahun diberkas kerana dipercayai telah melakukan penderaan terhadap kanak-kanak tersebut," jelas beliau.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemui tiga batang rotan pelbagai saiz disyaki digunakan untuk mendera kanak-kanak tersebut.

"Dalam serbuan itu, polis turut menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki masing-masing berumur enam dan tujuh tahun.

"Kedua-dua pasangan kekasih itu suspek ditahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana disyaki melakukan penderaan," katanya.

Menurutnya, dua kanak-kanak yang berjaya diselamatkan itu dihantar ke PPUM untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).