PONTIAN - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Parlimen Tanjung Piai akan menerima peruntukan RM3,000 bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti masing-masing.
Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata, pendekatan ini juga diharap dapat membantu PIBG menyusun program bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan di sekolah.
Katanya, peranan PIBG kini semakin bertambah dengan adanya Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB ) yang merupakan saluran bagi merapatkan kerjasama dan komunikasi dengan pihak sekolah.
Menurutnya, di samping itu, penekanan juga diberikan bagi Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) yang dapat membantu bagi menggalakkan ibu bapa memainkan peranan dalam pendidikan.
"Semua pihak melihat pendidikan adalah aset utama kepada generasi akan datang, begitu dengan komitmen dan sokongan masyarakat yang turut bergerak seiring dengan keperluan ketika ini.
"Ianya juga menjadi agenda dan perancangan Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Piai untuk turut terlibat dengan program dan aktiviti pendidikan yang dapat membantu kejayaan pelajar,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SK Parit Kudus, baru-baru ini.
Turut hadir, Guru Besar SK Parit Kudus, Reduan Muhammad dan Pengerusi PIBG SK Parit Kudus, Mohd Fairus Mokri.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, pihaknya mendapati sesetengah sekolah di kawasan Parlimen Tanjung Piai memerlukan penyelenggaraan dan menambah prasarana.
"Oleh itu, enam atau lapan dewan terbuka akan dibina di beberapa sekolah bagi memberikan kemudahan bagi pihak sekolah menjalankan aktiviti kokurikulum dan sebagainya,” katanya.
Katanya, di samping itu, bagi memenuhi Pendidikan Abad ke 21 atau PAK 21, pihaknya juga akan membantu bagi sama-sama meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan pelajar di Parlimen Tanjung Piai.
Menurutnya, ini termasuklah dengan melengkapkan Pusat Sumber Sekolah (PSS) dengan bahan-bahan bacaan yang dapat menambah pengetahuan para pelajar sejajar dengan program Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030.