ASM 2 Wawasan isytihar pengagihan pendapatan RM921.2 juta

Iklan
Kaunter utama ASNB.

SHAH ALAM - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM921.2 juta untuk dana harga tetapnya, Amanah Saham Malaysia 2 - Wawasan (ASM 2 Wawasan) untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2021.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, ASM 2 Wawasan mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.00 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2021 yang memanfaatkan 897,145 pemegang unit iaitu lebih tinggi daripada RM907.3 juta yang diagihkan pada tahun kewangan 2020.

Iklan
Iklan

"ASM 2 Wawasan telah mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM909.6 juta setakat 25 Ogos 2021, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4.47 peratus dari tahun lalu. Pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah 215 mata asas mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank dalam tempoh yang sama iaitu 1.85 peratus.

"Prestasi ASM 2 Wawasan umumnya didorong oleh pemulihan pasaran kewangan global dan domestik di sebalik peningkatan kadar kebolehjangkitan Covid-19 dan jangkaan kadar inflasi yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan
ASM 2 Wawasan

Menurut PNB, pulangan dana juga disokong oleh impak positif daripada inisiatif kepelbagaian kelas aset PNB yang berterusan dan pengurus dana secara beransur-ansur telah meningkatkan pelaburan antarabangsa kepada 20.8 peratus daripada keseluruhan portfolio, berbanding 14.9 peratus pada tahun 2020.

"Dalam menghadapi persekitaran pasaran yang berubah dengan begitu pantas, PNB terus meneroka peluang pelaburan baharu untuk memastikan portfolio pelaburannya terus berkembang secara lestari dan lebih berdaya tahan.

Iklan

"Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2021,” kata PNB.

Urus niaga di semua pejabat cawangan dan ejen ASNB untuk ASM 2 Wawasan telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 26 hingga 31 Ogos 2021 untuk memudahkan urusan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 September 2021.