KPN rangka 93 program sempena Bulan Kebangsaan 2021

Iklan
Mohd Zuki Ali semasa melancarkan program Semarak Perpaduan Bulan Kemerdekaan 2021.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perpaduan Negara (KPN) merangka 93 program untuk dilaksanakan di seluruh negara di bawah tema Semarak Perpaduan Bulan Kebangsaan 2021.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, program-program tersebut bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

Selain itu, beliau berkata, ia juga bagi memperkasa peranan dan penglibatan komuniti untuk sama-sama menyemarakkan semangat perpaduan tanpa mengira usia, agama, kaum, budaya, serta adat resam.

"Sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, KPN telah menyusun pelbagai program yang berteraskan patriotisme dan semangat perpaduan.

Iklan

"Bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektifnya, KPN turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang merupakan Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2021 (HKHM 2021).

"Pelbagai program telah dirancang untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dan menghargai sumbangan rakyat Malaysia khususnya barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa melancarkan program Semarak Perpaduan Bulan Kemerdekaan 2021 melalui platform Facebook Kementerian Perpaduan Negara pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Zuki berkata, komuniti perpaduan termasuk Kawasan Rukun Tetangga, guru-guru dan Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan, Sekretariat Rukun Negara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perpaduan yang dikenali sebagai Friends Of Unity turut digemblengkan bagi menyemarakkan program ini.

Menurutnya, program-program yang dirancang KPN untuk dilaksanakan itu adalah merangkumi aktiviti yang berteraskan perpaduan termasuk melalui pelbagai aktiviti seperti sukan, kesenian, kebudayaan dan juga makanan.

"Kita lihat contoh yang paling dekat iaitu Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang baru sahaja melabuhkan tirainya. Kita lihat bagaimana seluruh rakyat bersatu hati menyokong atlet negara kita yang berjuang untuk negara.

"Inilah yang dikatakan sukan menyatukan kita dalam semangat perpaduan. Sekiranya semangat ini kita terapkan dalam segala aspek kehidupan, nescaya walau apa pun yang kita tempuhi, senang dan susah, negara kita tetap berpadu mengharungi bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Zuki turut berharap jawatankuasa kerja di setiap peringkat dapat memainkan peranan dengan cemerlang bagi memastikan program-program itu dapat menarik penyertaan yang maksimum khususnya dari komuniti setempat.

"Jadi kita harap program yang dianjurkan nanti dapat memberikan impak kepada masyarakat di semua peringkat akar umbi.

"Begitu juga komuniti perpaduan di seluruh negara, komitmen semua sangat diperlukan untuk sama-sama menyemarakkan semangat perpaduan melalui program-program yang dilaksanakan,” katanya.