Kelantan United tersungkur lagi

Iklan
Pemain Kelantan United FC cuba melepasi kawalan pertahanan Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Primier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu. FOTO: Ihsan Kelantan United

KELANTAN United terus dirundung malang apabila tersungkur di laman sendiri selepas tumpas 0-2 kepada Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.

Pada perlawanan itu, Kelantan United tampil dengan corak menyerang apabila mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol, namun gagal menepati sasaran.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun keghairahan tuan rumah itu akhirnya dihukum pelawat pada minit ke-11 apabila kapten Negeri Sembilan, Mohamad Zaquan Adha Abd Razak tenang menyudahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan tonggak pertahanan Kelantan United.

Tujuh minit berselang, Ariusdius Jais menyamakan kedudukan apabila rembatan dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh penjaga gawang Negeri Sembilan, Damien Lim.

Iklan

Tuan rumah terus kempunan untuk mendapatkan jaringan penyamaan apabila tandukan Gassama Alfusainey dinafikan oleh ketangkasan Damien Lim di pintu gol Negeri Sembilan pada minit ke-24.

Kelantan United hampir menutup aksi separuh masa pertama dengan jaringan penyamaan pada minit-minit akhir separuh masa pertama menerusi Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin, namun sayang rembatannya sekadar melewati palang meskipun Damien Lim sudah tertewas.

Iklan

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan hampir menambah jaringan kedua menerusi Alain Akono, namun rembatannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah, Mohamad Fikri Che Soh pada minit ke-53.

Gawang gol Kelantan United yang dikawal oleh Mohamad Fikri terus diuji pada minit ke-69 menerusi tandukan Akono tetapi sayang sedikit sahaja melewati palang.

Usaha pelawat menggandakan jaringan akhirnya kunjung tiba pada minit ke-81 menerusi Francis Kone menjadikan kedudukan 2-0 berpihak kepada Negeri Sembilan sehingga tamat perlawanan.